Sunday, August 06, 2006

Rindu Itu Suatu Anugerah

"Nanti ada masa, telefonlah rumah. umi rindu..."

Sms ringkas daripada adikku di UPSI semalam cukup menggetarkan jiwa. Berdosanya aku kerana menyebabkan kerinduan pada hati seorang ibu. Umi, maafkan diriku. Acap kali umi merungut mengatakan betapa aku sibuk sehingga melupakan dirinya...tidak sesekali aku melupakan insan yang banyak berjasa dan berkorban untukku ini. Umi, hanya Allah mengetahui betapa fikiran ini sering singgah padamu,mendoakanmu supaya sentiasa dirahmatiNya...tapi aku di sini dikekang banyak tanggungjawab dan amanah. Maafkan aku kerana tidak mampu menghubungimu selalu.

Semasa kecil masih kuingat. Bagaikan tidak mahu ke sekolah, ingin sahaja menemani umi di rumah bersama adik-adik dan keluarga sehingga datukku yang suka berjenaka mengatakan"ambil buluh lah, tebang buat sekolah kat tepi rumah ni. senang, nak pergi dan balik, dekat".Indahnya zaman lampau, nostalgia sewaktu kecil yang cukup berharga buat diriku.
Umi pernah berkata, ada satu perkara yang menyebabkan dia akan mengingatiku iaitu jika dia memasak gulai. Katanya, bila sahaja aku tiada, gulai seolah-olah macam tidak luak kerana adik-beradikku yang lain tidak berapa menyukainya.Seringkali juga aku terharu dengan layanan umi, aku bukanlah anak bongsu, hakikatnya masih ramai lagi adik-adik yang lain di bawah, tetapi aku dan umi sering bercerita, bertukar rahsia dan mewujudkan suatu hubungan istimewa antara anak dan ibu. Aku sering juga mengusik, antara ramai-ramai anak siapakah yang paling umi sayang?mesti kak long, sebab kak long sulung, tekaku atau amir kerana dia bongsu...umi katakan semua anak-anak umi sayang dan doakan...masing-masing ada kelebihan sendiri yang menambahkan rasa sayang umi.

Sesungguhnya rindu itu suatu anugerah yang tidak bernilai, dikurniakan Allah buat manusia sebagai bukti akan rahmat dan kasih sayangNya. Percaya atau tidak, bila kita merindui seseorang, pada waktu yang sama orang itu akan merindui kita juga. Itulah tautan hati yang menjadi rahsia Allah.Sebagaimana lirik lagu Hijjaz.
Rindu itu adalah anugerah dari Allah
Insan yang berhati nurani, punyai rasa rindu...

Walau apa pun, hidup perlu diteruskan, janganlah kita menjadi seorang perindu yang rugi dan lalai ibarat purnama yang merindukan pungguk tetapi jadilah perindu kepada perkara-perkara kebaikan, rindukan keampunan Allah dan syurgaNya, rindukan ibu bapa dan rindukan segala-galanya yang baik maka dengan itu barulah rindu itu wajar dinobatkan sebagai sebuah anugerah yang tidak bernilai bukanlah merosakkan.

Wallahua;lam.
Rindu seorang perindu