Monday, January 28, 2008


Tiada On Dan Off Dalam Perjuangan Islam

9 pagi-530 petang-Kerja di pejabat
530-700 Petang-meeting persatuan
830-1230 malam-kerja-kerja amal
1230-100 pagi-baru sampai di rumah
..............................................................

Rutin harian...sibuk,letih,penat,lesu.Kadang-kadang sampai tidak sempat makan, atau tidak selera makan akibat terlalu letih.Esoknya pagi-pagi ke pejabat, kerja berlambvak-lambak menanti untuk dibereskan.Surat untuk wartawan, follow-up peserta program, confirm tempat ceramah, alamak, makanan belum tempah…tiada kereta untuk ke tempat program, terpaksa berhabis beringgit-ringgit untuk tambang teksi, berjalan sampai sakit kaki(sebab pakai high heel dan terpaksa berjalan jauh)...macam mana ni, buletin persatuan belum siap?nak edar ke kampus-kampus ni, boss pula telefon setiap hari bertanya progress...telefon berdering hampir setiap masa, justeru selamatnya aku menutupnya pada setiap waktu solat.

Jika tidak difikirkan tentang janji diri kepada Allah SWT untuk tetap tegar berjuang dalam medan dakwah dan perjuangan ISLAM, aku berasakan mungkin akulah orang pertama yang mengangkat tangan mengibarkan bendera putih tanda kekalahan dan menyerah! Tidak tahukah bahawa letih dan penat saban hari ini sangat-sangat menguji...sampai tidak tertahan dengan bebanan kerja, akhirnya hanya mampu menangis, lewat sujud menemui Tuhan Yang Satu


Tiada On Dan Off Dalam Perjuangan Islam

Setiap kali rasa kemalasan dan keletihan itu membelenggu hati dan pemikiran, terus sahaja aku kembali teringatkan pengisian usrah yang berlangsung semasa ku di alam kampus dahulu. Sewaktu itu, semangat juang ini masih bugar bersama sahabat-sahabat seperjuangan. Malah, acap kali aku lah yang beria-ia mengulas dan berbicara tentang istiqamah dalam perjuangan ini, lantas aku kah pada hari ini yang menjadi pemula futiur di jalan da’wah, mengotori tekad janji ku kepadaNya?Astaghfirullah,ampunilah aku, Tuhanku

Tinggalkan mereka yang beralasan, Dan teruslah mengorak langkah…

Bicara dari Ustaz Nik Abduh.

Bukankah pernah diceritakan betapa dalam medan juang ini penuh dengan mehnah dan tribulasi , bukankah kita sudah mengetahui tentang adanya gejala futur yang sering terjadi ke atas diri pejuang, berpunca daripada tentangan dalaman dan luaran...apakah kita sering sahaja mendengar khabar-khabar yang indah tentang perjuangan yang sedang kita bawa sekarang, jika ada yang masih bertahan walaupun teruk diuji, maka dialah pejuang yang istiqamah...begitulah antara kata-katanya

Sebenarnya...

Aku seorang yang degil, mengapa tidak aku jadikan kedegilanku ini untuk terus bertapak dalam dunia perjuangan ISLAM, tetap berdegil menegakkan kalimatulhaq, bukankah degilku ini akan menatijahkan suatu kebaikan buat agama jua...inilah sebenarnya hikmah sesuatu keburukan yang kembali menjadi kebaikan sekiranya kita meletakkannya ke sebuah spektrum positif.

Jika ada on dan off dalam perjuangan ISLAM, pastilah sudah lama, Rasul-Rasul Allah berhenti berdakwah dan menyeru ke arah kebaikan, bukankah dihina dan dicaci, dilempar batu, dibuang negeri, disibukkan dengan itu dan ini, ditinggalkan, disumpah seranah itu sangat-sangat menyakitlkan, Rasul-rasul adakah tidak berasa sunyi, tidak berasa sakit, tidak berasa perit. Tiada bezanya dengan kita, kerana mereka juga adalah manusia. Bukankah mereka juga ada keluarga, isteri, anak-anak, pekerjaan dan sebagai mana insan biasa yang bergelar manusia?tetapi ya, mereka berbeza, bukan kerana hanya mereka adalah maksum, tetapi yang lebih utama, taqwa mereka melebihi hamba seperti kita.,
Kita lebih banyak suka bercerita, mereka-reka alasan tetapi mereka sangat takut akan janji Tuhan, bahawa mereka yang lari dari medan, selayaknya diazab seksaan yang maha berat kelak.

Apa lagi yang ditunggu, ayuh bangkitlah wahai semua, Islam tidak akan rugi jika kita berhenti membelanya tetapi kitalah yang akan kerugian jika tanpa naungan Islam bersama redhanya TUHAN

Salam Dari Serambi Mekah

Cahaya Kejujuran Cahaya Agama


Wallahua'lam





Wednesday, January 16, 2008




Selendang merah cantik dipakai

dipakai nyonya dari melaka

kenapa hati hancur berderai

kerana Tuhan sering dilupa


Jambu batu daunnya hijau

daunnya hijau lagi wangi

mengapa fikiran berubah sasau

Kerana dosa sering diulangi


Kalau tuan ingin mendayung

Dayunglah sampai ke kuala muda

kalau tuan ingin bertarung

bertarunglah sehingga sehabis nyawa


Delima kuning manis rasanya

Manis lagi si buah nangka

Rasa hati tenang sentiasa

Jika syariat sentiasa dijaga


Apa erti cinta dan rindu

Jika cinta bernoda palsu

Apa guna berharta segunung

jika amal hanya sekantung

Tuesday, January 15, 2008

Dan Sebenarnya...


Petang ini...aku keseorangan di pejabat

Kalau difikir2, memang banyak sangat kerja yang belum beres...sebenarnya, Allah sudah tersedia tahu tentang beban apa yang perlu disandang dan digalas oleh seseorang itu. Justeru, kepada diri, jangan mudah mengeluh dan berasa menyesal.

Mungkin manjakah aku sebenarnya?Lembik, lemah, mudah mengalah, dan semua sifat2 pesimis-negatif yang ada dalam diri, mungkinkah?Mungkin juga. Tarbiyah roh masih belum cukup tebal untuk menjadi pendinding yang kebal buat diri dalam menempuh ujian sehari-hari...Oh Allah, janganlah Engkau murkai hamba yang tidak bersyukur ini.

Bertemannya pen dan kertas...

Temanku yang setia. Pen dan kertas. Tidak lengkap tanpa mereka...sebab aku suka sangat menulis.itu dan ini, begitu dan begini, apa yang mahu dibuat, apa yang perlu dilaksanakan...suka menulis menjadikan aku mengkoreksi setiap kejadian dan peristiwa. Kalau sahaja aku marah, terasa hati dan sedih.Mungkin sahaja sebenarnya niat di hati ini menjadi penulis terkemuka, Syed Qutb yang karyanya menggoncang seisi dunia...atau seperti siapa ye?

Kuhargai Sebuah Doa

Cukup bererti bagi siapa sahaja yang sentiasa mendoakanku saban hari. Umi, baba, sahabat-sahabat, teman...atau siapa sahaja. Malah ada juga yang katanya sanggup melakukan apa sahaja asalkan untukku.wah, terasa macam puteri impian pula. Aku pernah mengatakan kepada seorang teman rapat, kita tidak boleh memaksa orang lain berhenti mencintai diri kita walaupun cintanya tidak mampu kita balas, kerna nikmat cinta itu dikurniakan Allah kepada setiap hati dalam diri manusia. Cuma janganlah kita hilang pertimbangan dan binasa pegangan syariat hanya kerana cinta kepada insan.Cinta, datang dan pergi...untuk mengisi lompangan cinta ini, perlunya takungan iman dan taqwa. Sama2lah kita semua kembali ke dalam fitrah cinta yang suci kerana Rabb.

Hari sudah Cemburu

Setiap yang pahit, ada manisnya...macam lirik lagu kumpulan UKAYS pula. Aku percaya bahawa Allah tidak pernah mendatangkan sesuatu yang sia2 buat manusia, melainkan utuk dipelajari dan dihayati sebagai pengajaran. Aku juga ingin belajar,ya sentiasa jua ingin belajar,kerana banyak lagi perkara yang aku belum mengerti tentang hidup ini. Sudi2kanlah memberi pengajaran kepada mereka yang tahu dan diberitahu. Wallahua'lam sampai berjumpa lagi

Salam dari serambi Mekah
7pm
ofis Pupuk Nillai Murni

Tuesday, January 08, 2008


LAHIR SEBAGAI ORANG LAMA YANG BERSIFAT BARU
Sempena, tahun baru hijrah ini...aku menyesali segala dosa-dosa dan mensyukuri segala nikmat dan anugerah dengan penuh syukur yang tiada terhingga.

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir sekelian alam. Semoga Allah cucurkan rahmat dan sejahtera ke atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Ya Allah, wahai Tuhanku, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak reda dan tidak melupakannya dan Engkau berlembut tidak mengazabkan aku malah memberi peluang supaya aku bertaubat selepas menceburkan diri melakukan maksiat itu.

Sesungguhnya aku memohon keampunan-Mu, maka ampunilah aku dan mana-mana perbuatan yang telah aku lakukan sepanjang tahun ini yang Engkau redhainya dan Engkau janjikan ganjaran pahalanya.

Maka aku memohon diperkenankan akan perbuatan (amal bakti) yang telah aku lakukan itu dan Engkau tidak menghampakan harapan kami. Ya Allah Tuhan Yang Maha Pemurah.

Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim, sedia ada, tiada permulaan.

Kelebihan-Mu Maha Besar dan kemurahan-Mu sangat-sangat diharapkan. Tibalah sudah tahun baru, aku mohon kepada-Mu agar terpelihara di dalam tahun baru ini daripada tipu daya syaitan-syaitan yang terlaknat juga daripada konco-konco syaitan dan bala tenteranya.

Aku juga bermohon kepada-Mu akan pertolongan mengalahkan runtunan nafsu amarah (nafsu yang mendorong kepada kejahatan). Aku mohon juga kepada-Mu akan rasa sedia ingin membuat kerja-kerja kebajikan yang boleh mendampingkan diriku kepada Mu.

Ya Allah Tuhan Yang Maha Agung lagi Mulia, Ya Allah Tuhan yang sebaik-baik mengurniakan rahmat.



Monday, January 07, 2008

SESUNGGUHNYA...

Sesungguhnya, memang tak sanggup nak lepaskan sesuatu yang berharga yang memang sudah ada dalam tangan, lebih-lebih lagi yang memang sudah ada dalam genggaman kita.


Kenyataan daripada Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar (Rujukan akhbar berita harian; 8 januari 2007), sebenarnya amat menyakitkan hati dan telah membongkarkan ketidakikhlasan dalam menerajui ECER di Kelantan.
"Sekiranya BN menguasai Kelantan, pembangunan ECER mungkin lebih lancar berbanding PAS terus berkuasa di negeri ini (Kelantan)"begitulah katanya...


Aduh, aduh.sesedap rasa sahaja pak menteri kita ni. Jangan mudah untuk mengagak sesuatu yang kita belum tahu dan belum lagi terjadi. Dalam sekatan dan penahanan terhadap Kerajaan kelantan yang menjangkau 17 tahun ini pun, negeri kelantan boleh hidup dengan kadar yang apa yang ada, membangun bersama kepimpinan ulama' dengan penuh aman dan sejahtera. Tidak perlu mengubah atau menagih gantian apa-apa, jika betul-betul ikhlas dalam membangunkan Kelantan. Jika tidak, sudah teranglah jika ECER ini sebagai udang di sebalik batu...katakan tidak, tetapi kebenarannya hanya Allah yang sahajalah yang tahu apa yang terang dan tersembunyi, dalam hati dan fikiran setiap hambaNya.


Marilah bersama kita membina sifat ihsan. Tidak melihat Allah tetapi sentiasa berasakan Allah melihat kita, dengan itu kita akan lebih beriman dan bertaqwa. Sebab mati itu suatu kepastian, dan kita akan dipersoalkan dengan apa yang kita buat di dunia ini.Wallahua'lam.