Monday, February 25, 2008

***

KITA BERDEPAN DENGAN SAUDARA SENDIRI...
Inilah antara intipati yang aku berikan apabila diminta oleh seorang teman memberikan beberapa cabaran terbesar umat islam akhir zaman ini. Selain isu perpecahan dan pertentangan aqidah, soal pengasingan agama daripada kehidupan adalah menjadi faktor terbesar yang mengancam pegangan umat islam masa kini.

Rata-rata bendera hijau-biru telah terpasang di sana-sini. Di mana sahaja, orang bercakap soal pilihanraya, pemimpin,tok-tok wakil, dalam bas, dalam teksi apatah lagi di medan gegak gempita yang biasa dikunjungi oleh orang kampung saban hari-kedai kopi.

Aku melihat betapa mesranya ahli parti X dan Y dalam suratkhabar selepas usai sahaja penamaan calon, bersalam-salaman dan berbual mesra. Mungkin ini hipokritisme atau sekadar mahu meraikan permintaan jurugambar mahupun wartawan? Wallahua'lam. Cuma alangkah bagusnya jika keadaan 'aman makmur' ini benar-benar terealisasi di alam yang nyata. Jauh daripada fitnah dan kata-kata cacian sesama sendiri.

Dahulu isu samseng, lepas tu orang utan pula..selepas ini, entah apa-apa lah. Justeru, perlunya menyelidik dahulu tentang apa jua yang kita dengar dan lihat. Seribu kali mungkin sukar ingin mempercayai seorang ulama' mengungkapkan kata-kata sumpah seranah melainkan dengan maksud dan alasan yang kukuh, tidak melanggar syariat Allah, kerana dari mulutnya itu juga sering mengeluarkan kalam-kalam Allah dan mutiara-mutiara zikir.Sukar!

Tidak kira seteruk mana pun pertelingkahan X-Y, A-B, C-D, yang penting kita masih lagi diikat dengan satu aqidah yang sama, Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita terus menegur segala kepincangan dan kefasadan yang dizahirkan atau disembunyikan oleh saudara kita. Dengan itu lah sebenranya tugas utama kita dilontarkan Allah ke dunia ini. Jadilah check and balance yang terbaik untuk membetulkan bukan menyalahkan semata-mata.

Thursday, February 14, 2008

gendang gendut


Kenapalah nak sokong sangat parti pembangkang tu, hei, dengar sini, kamu semua harus sedar dan bersyukur, kalau tak kerana kerajaan yang bagi gaji pada kamu, maknanya tak berasaplah dapur di rumah tu(biarpun harga barang keperluan naik) anak-anak takkan mudah ke sekolah macam sekarang (biarpun yuran naik macam dipam-pam) dan jalanraya juga takkan cantik macam sekarang (biarpun tol sana sini)...ingat parti pembangkang tu baik sangat, banyak terlibat dalam kes balak, rasuah (biarpun tidak terlibat dengan skandal seks dan makan duit rakyat, tabung haji, PPRT). Kerajaan buat semuanya untuk kamu, nak bina tamadun bangsa (sebab tu buat Islam Hadhari, Konsert Jom Heboh,Realiti TV) Nak bagi terbuka minda skit, nak bina modal insan ni biar first class mind, jangan jumud asyik berusrah, bertazkirah(oh, sebb tu lah kot diharamkan usrah di sesetengah universiti).

Kamu jangan jadi kacang lupakan kulit.Kerajaan buat semua ni untuk kamu. Kerajaan tak mahu kamu jadi masyarakat ekstrimis. Ini bukan budaya kita. Sebab tu, kerajaan tugaskan polis untuk jaga keamanan(Silap aje, terus polis pukul, tembak dan telanjangkan). Kalau nampak macam teruk lagi, kerajaan akan tempatkan di tempat yang khas(ISA) biar selamat dan aman Malaysia kita(kes jenayah dan rogol makin meningkat, kanak-kanak hilang makin bertambah, selamatkah?). Kita jangan pandang semua orang jahat, kita bagi peluang kepada mereka untuk berubah (bagi bantuan percuma kondom dan jarum suntikan), dan mat-mat rempit kena jaga kebajikan mereka, mereka anak bangsa kita, bakal pemimpin negara (mungkinkah?tapi rancangan Bersamamu TV3, ramai lagi yang tak makan nasi dan anak yang tak bersekolah).Kita kena ramai-ramai sokong kerajaan. Kerajaan buat semua ni untuk rakyat(kereta mewah, kediaman mewah pak-pak menteri jangan ambil kisahlah, itu hak mereka, jaga standard skit lah). Kalaupun pernah tersalah kata, termenipu dan termunafik seketika(pengumuman pembubaran Parlimen) harap janganlah ambil hati. Kamu semua patut jadi orang mengenang budi, takkan salah sikit (dalam 50 tahun pemerintahan ni la)nk terus boikot kerajaan. Takkan kamu nak mengharapkan parti pembangkang(tengok ajelah rumah Mursyidul Am nya, langsung takde standard, malu kalau nak jemput wartawan ke situ), lagipun duit semuanya ada dengan kerajaan(apa-apa senang kroni nak minta projek ) apa nak susah-suasah lagi. Sajalah kamu ni nak cari nahas, cari bala.

Malaslah nak layan kamu ni. Cakap pun, bukannya faham.tetap juga nak sokong parti pembangkang yang ntah apa-apa tu. Dah la, buang karan je cakap dengan kamu ni. Buang masa, buang duit (rugi je bagi rasuah masa PRU tu). Ikut suka kamulah, malas nak layan dah, buang karan aje.

MENJELANG PRU...

“Kenaikan Yuran Sekolah;Isu Kebajikan Hanya Retorik?”

Apabila tiba di ambang pilihan raya, masing-masing akan sibuk mencari apakah manifesto yang sesuai untuk dicanang dan digembar-gemburkan kepada seluruh rakyat. Jalan yang berlubang akan diturap, lampu-lampu jalan akan dipasang, harga barang keperluan akan cuba dikurangkan, universiti akan didirikan, gaji bulanan akan dinaikkan, cuti tahunan akan ditambah, segala-galanya begitu positif, optimis, opportunis dan mungkin juga retorik?

Berita kenaikan harga tepung, minyak masak, yuran sekolah bahkan cerita tebaru yang didengar dari selatan tanah air, beberapa buah sekolah telah mengenakan yuran tandas bernilai RM3 kepada semua pelajar perempuan sahaja. Kenapa? Ini kerana yuran tersebut dikatakan sebagai yuran famicare, untuk tujuan maintenance tandas wanita dan upah untuk membersihkan tuala wanita yang dibuang pelajar di sekolah itu. Nah!nampaknya kesabaran pihak sekolah yang tidak lagi terkawal menyebabkan mereka mengambil tindakan meminta wang sebagai menguruskan ‘tender kebersihan’ penuntut-penuntut perempuan sekolah mereka. Nampaknya, sekolah pada hari ini juga tidak mahu lagi bernaungkan Kementerian Pelajaran Malaysia, justeru itulah mereka begitu berani menambah bayaran tambahan sesuka hati mereka sahaja.

Bagaimana pula jika hal sebegini bersangkut-paut dengan kuasa PIBG (Persatuan Ibu Bapa Dan Guru)? Kalau pun berfungsi sebagai pengusul cadangan dan pemerhati dalam mesyuarat agung antara sekolah dan ibu bapa, sepatutnya belum boleh menggubal apa-apa tuntutan dan syarat baru untuk perlembagaan sekolah jika tanpa kebenaran Kementerian. Negara kita kan Negara berdaulat dan berperlembagaan.

Kenyataan rasmi daripada Menteri Pelajaran Malaysia, (Akhbar Kosmo; bertarikh 6 Januari 2008) yang mengatakan bahawa yuran tambahan itu bukanlah sesuatu yang wajib dan pihak ibu bapa boleh memilih untuk membayar yuran tersebut atau tidak nampaknya boleh memberi jaminan kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan dalam menangani masalah yuran ini. Namun, suatu penyelesaian yang lebih ampuh masih lagi diperlukan bagi merungkai permasalahan isu terbaru yang melanda negara ini.

Kalau seekor kerbau membawa lumpur semua yang lain pasti terpalit.Begitulah ungkapan yang paling ideal untuk mendefinisikan isu penambahan dan kenaikan yuran sekolah ini. Rakyat Malaysia sebenarnya amat bijak dalam menilai dan melihat spektrum sebenar pergolakan isu ini. Kalau namanya isu masakan boleh ditamatkan dengan segera. Janganlah kita hanya menunggu apa-apa isu itu tamat dengan sendirinya, sebaliknya berfikir dan bertindaklah mencari jalan penyelesaiannya! Bukankah sifat berusaha itu adalah sebenarnya nilai modal insan yang dicari-cari Perdana Menteri kita selama ini?Jika harimau hebat pada belangnya, manusia pula hebat pada akalnya, tepuk dada tanyalah di mana kita sebenarnya

DI SEBALIK SEBUAH SENYUM DAN SABAR



"Ayah, itu burung apa..." "Burung Murai. burung apa?burung murai...burung apa?"

Lama tak update blog.Jam sekarang 6.45 petang. Seharian di pejabat, bukan banyak kerja pun, tapi sibuk berjumpa orang...jumpa orang itu dan ini, ada yang bertanya itu dan ini.Aku menjawab dengan penuh hati2 takut kalau tersuara tinggi, akan melukakan hati. kalau nak tahu orang tu jenis sabar atau tak, cuba buat test kat dia, tak pun test pada diri kita sendiri. Caranya...Tanya soalan yang sama banyak kali. Acap kali.macam iklan kat tv tu...seorang anak yang asyik jua bertanya tentang jenis burung pada ayahnya. Diulang-ulang pertanyaannya namun tetap dibalas dengan santunnya oleh si ayah. begitulah.kalau kita tinggi kesabarannya, maksudnya kita akan jawab dengan baik biarpun ditanya orang benda yang sama.. Macam dakwah juga. Kenapalah kita dakwah, ajak orang buat baik, edar risalah, buat ceramah dan macam-macam lagi tapi tetap juga orang tak nak ikut.Buat 'dek' aje,pastu siap nak kutuk dan fitnah kita balik.Aduh, dunia hampir kiamat mungkin?

Aku tertarik dengan sifat dan perilaku beberapa orang sahabat yang sentiasa tenang biarpun ditekan pelbagai krisis dan kemelut hidup. Indahnya hidup jika semua orang seperti itu. Biarpun dimarah, tetap juga tersenyum dan menjawab dengan baik dan sopan. Inilah kemanisan dakwah Rasulullah yang berjaya meresap ke dalam jiwa para umatnya. Akhlak baginda adalah yang terbaik yang patut dicontohi. Dan mungkinkah juga, kita adalah sebahagian yang menjadi sumber ketenangan buat orang lain. Besarnya pahala apabila dengan senyuman kita sahaja boleh menyejukkan amarah insan dan menenangkan perasaan orang yang berkecamuk hati dan perasaannya.Segala Puji Bagi Allah, yang menjadikan sebuah senyuman. Tetapi berhati-hatilah jika senyum itu menajdi fitnah terbesar buat diri apabila dipuji dengan ungkapan...aduhai, manisnya senyumanmu!terutamanya si pemuji itu adalah lelaki ajnabi.

Sempena pilihanraya yang makin hampir ini, marilah bersama-sama kita bertekad...jangan malas dan beralasan lagi dalam perjuangan ini. Islam hari ini makin dagang dan terasing, namun ia akan bangkit dengan gahnya pada suatu masa kelak. Kita seharusnya yakin dan berpegang teguh dengan janji Allah bahawa ISLAM itu pasti jua akan menempa kemenangannya kalaupun bukan hari ini. Tunggulah dengan penuh sabar dan tidak sesekali melupakan senyum.Senyumlah. Langit kan tidak selamanya mendung.

Menulis Dari Hati;

Nurul Sujaihah
Cinta Hati Bonda Ayahanda