Sebersih Awan Seligi
Tenang. Tiada kata yang terbaik untuk mendefinisikan ketenangan yang dapat kuperoleh di pondok seligi. Jauh daripada keserabutan dan hal-ehwal keduniaan. Inilah yang aku cari dalam hidupku sebenarnya. Bagaikan sudah putus kelazatan di dunia apabila saban waktu bergelumang dengan keilmuan dan mutiara-mutiara kalamullah. Segala puji bagi Allah. Bersama sahabiah, kami dilayan oleh ustaz bagaikan tetamu kehormat. Diberi pondok khas, lengkap dengan pelbagai kemudahan. Seusai subuh sehingga selepas isya', setiap detik terisi dengan khazanah ilmu. Tiada ruang untuk berbuat lagha dan hati bagaikan sebersih awan seligi...
Sejernih wajahnya
Betapa bertuahnya diberi peluang oleh Allah untuk mengaji ilmu kalam. Pada ustaz, kuhamburkan segala persoalan dan keadaan keruntuhan aqidah mahasiswa kampus, yang pastinya makin goyah. Selepas kelas, kami berbicara soal isu semasa, isu nasional yang juga melibatkan aqidah. Ustaz acap kali menyebut" Biarlah mengaji tinggi ke universiti mana pun, duduk di pondok sampai berlubang pun, tapi kalau soal aqidah pun tak setel..." dan ustaz banyak memberitahu tentang kegelinciran aqidah para pemimpin negara sekarang, sehingga jika dengan kata2 pun akan tanpa sedar membatalkan aqidah apatah lagi jika qasad di hati tidak ampuh biarpun hanya 99.9%. Terasa kerdilnya aku di sini. Terasa bagaikan aku ini sangat jahil. Apalah yang nak dibanggakan ustaz dengan gelaran sebagai mahasiswa universiti yang jahil ilmu kalamnya ini? Tiga orang ustaz yang mengajar kami. Biarlah aku kenalkan satu persatu ok. Seusai Asar, kelas usuluddin kami adalah bersama ustaz ibrahim. Ustaz muda berusia 27 tahun, berasal daripada pasir puteh. Ustaz pandai beranalogi dan kadangkala analoginya cukup melucukan menyebabkan kelas yang berterusan selama 3 jam jauh daripada rasa bosan dan jemu. Namun, ada masanya ustaz cukup serius dan tegas sehingga pernah juga dalam keadaan berlawak, ustaz menghentak lantai madrasah tempat kami mengajar dengan buluh panjang, nak halau syaitan iblis katanya. Ustaz yang ke2 adalah ustaz Syah. Gerun. Ini ustaz yang mengajar ilmu tajwid. Selepas subuh, semua akan mengaji AlQuran disamping tasmi' bacaan dalam solat. Ustaz Syah seorang yang sinis dan suka memprovokasikan keadaan.Namun atas sikapnya yang provokatif itu, kami sering disirami dengan muhasabah diri dan ingatan kepada Allah. Namun, jauh di sudut hati ustaz, segala2nya adalah untuk kebaikan kami. Ustaz yang ke3 adalah ustaz arfan, dikenali juga dengan panggilan baba. rupa2nya baru kutahu ustaz ni abang ipar akhi fahmi.Baik ustaz arfan, lembut kata2nya dan sangat menyenangkan. Kelas ustaz adalah kelas feqah pada sebelah pagi sampai tengah hari. Dan pada malamnya, kami akan ke masjid di pondok itu untuk mendengar sesi tadabbur kitab.Allah Maha Besar. Segala2nya amat mendamaikan.
Taman2 Syurga...
Seminggu di seligi banyak mencoretkan kenangan manis. Ustaz bertanya; mengapa mahu pulang awal, pengajian di u kan masih lambat lagi? Kami akan kembali ustaz...itulah yang mampu aku katakan. InsyaAllah. babaku telah menetapkan untukku tamatkan ijazah pertamaku dahulu dan jika ingin terus bersemayam di lubuk pondok, sepenuh restu diizinkannya. Baru kuketahui betapa indahnya taman2 syurga ini, di sini ukhwah bersemi, ilmu dan taqwa subur dibajai dan moga2 tunas2 ISLAM akan tumbuh berceracak di hati dan di sanubari. Kata2 akhirku pohon amanat daripada ustaz Ibrahim, buat pedoman di hari hadapan...ustaz merendah diri. tiada kata2 semulia kata2 nabi, kata ustaz,justeru dihadiahkan kembali kata2 Baginda itu kepada kami...
Selagi mana berpegang pada 2 benda, AlQuran dan As Sunnah, tidak akan sesat kita untuk selama2nya..
Salam perpisahan aduhai tanah seligi yang berkat. suatu hari, bumimu akan kujejaki lagi...doakan aku kembali!
Sesungguhnya, pencarianku belum berakhir...
WALLAHUA'LAM
No comments:
Post a Comment