“Semua masalah tidak boleh selesai hanya dengan menangis…”
Begitulah kata-kata seorang sahabatku. Pastinya. Namun pendapatku jika hanya dengan menangis, boleh sedikit sebanyak mengurangkan rasa tekanan dan keserabutan, maka saya nasihatkan anda semua supaya menangis. Sesungguhnya menangis itu bukan sahaja dapat menghuraikan tali kekusutan di hati tapi dapat melegakan perasaan yang berkecamuk sebab segala-galanya akan sirna melalui aliran air mata yang mengalir keluar. Kalau tak percaya atau susah nak percaya, cubalah…
Semasa ku belajar matapelajaran biologi dahulu.(rindu pada zaman sekolah).Belajar pasal mata dan bagaimana kelenjar yang ada pada mata ini mempunyai keupayaan untuk merembeskan cecair yang dipanggil air mata. Kelenjar ini dipanggil kelenjar lakrimal. Cikgu bio ku pernah berkata andainya cecair yang ada pada kelenjar itu kekurangan atau tidak dapat dirembeskan lagi, maka air mata juga tidak dapat dihasilkan lagi. Boleh sahabat-sahabat bayangkan bagaimana saat sedih atau berkecewanya kita namun tidak dapat menangis…sewaktu itu, pasti kita akan berasa kehilangan sebuah nikmat yang dikurniakan Allah SWT. Nikmat untuk menangis.Memang benarlah segala sesuatu itu akan menjadi lebih berharga jika kehadirannya tidak dinikmati lagi…
Anak bongsu manja dan suka menangis?
Jawapan yang ada pada persoalan ini ialah ya dan tidak. Jika anda adalah anak bongsu, anda pasti akan membela diri dan berkata tidak. Dan jika anda anak ketiga seperti saya, jawapannya pasti juga tidak. Sebab saya bukan anak bongsu tapi mempunyai hobi menangis(pada waktu dan ketika yang sesuai). Entah bagaimana penyakit menangis ni hinggap pada diri,maksud saya mudah untuk menangis, minta-minta bukan kerana kelenjar lakrimal uncontrolled atau clogged.
Umiku pernah memberitahu anak-anaknya tentang pemilihan jodoh. Kalau nak mencari pasangan, elakkan memilih anak bongsu atau anak sulung sebab anak bongsu dimanja-manjakan, anak sulung diperajai(dilayan umpama raja). Saya tidak pasti sejauh mana, namun yang pasti pemilihan pasangan kita kerana yang pertama pastilah agamanya tidak kisahlah dia anak yang ke berapa pun.setuju?
Kalau tengok adikku yang bongsu sendiripun, bukan dia yang akan menangis apatah lagi bersifat manja, sebaliknya dialah yang membuatkan abang-abangnya menangis, hatta kakak yang lebih besar daripadanya pun. Cuma dia akan menangis apabila benar-benar sakit sahaja;sebagai contoh ditabuh umi.orang kelantan sebut babil (baca dengan loghat yang betul). Ingat sekali kasihan juga, tetapi itulah tarbiyah jasadiah…
Menangislah untuk kembali ceria
Istilah untuk orang yang manja dan mudah menangis ini dalam bahasa kelantannya ialah lenjo atau manja kededek atau kalau perempuan sering digelar mek dene tapi kalau lelaki, tidak pula kuketahui awe…? Unik kan. Tapi bukan istilah yang ingin dibicarakan sebenarnya. Mungkin seseorang pada masa hadapan boleh mencadangkan satu kajian empirical tentang salah satu kaedah untuk mengurangkan stress melalui cara menangis. Manalah tahu pengaplikasian yang sedang dan pernah kulakukan selama ini terbukti sebagai kesan yang benar-benar berhasil.
Menangislah untuk merawat luka, menangislah untuk kembali ceria dan menangislah untuk membasuh dosa-dosa… dan ubat yang paling mustajab untuk mengubati hati dan kelukaan adalah menangis sewaktu munajat kita bersama Allah. Tumpahkan air mata mu keranaNya. Itu akan menjadi amal pahala pada diri kelak kerana mata yang tidak disentuh api neraka itu ialah mata yang menangis kerana TUHAN…
Kata pujangga:
ketenangan itu milik hati-hati yang beriman, agar bertambah benih hikmah dalam setiap perlakuan, orang yang banyak menderita, jiwanya akan perkasa dan apabila ditimpa kesusahan akan selalu ingat TUHAN.Bertuahlah apabila iman diuji kerana jiwa sabar dan tabah menghadapi, pasti ada kemenangan yang menanti.
No comments:
Post a Comment