Thursday, September 04, 2008

Salam Ramadan, Salam Dari Hati

Sudah lima hari berinjaknya ramadan. Moga-moga amal hari ini lebih ampuh dan perkasa daripada semalam. Target ramadan kali ini ialah mesti untuk ku khatamkan 30 juz al Quran secara perseorangan, tidak termasuk tadarus bersama ahli usrah yang lain. Pesaing yang utama semestinya satu-satunya ahli bait ku.(baca:abang@suami). Bersaing untuk menghabiskan khatam lebih dahulu daripadanya.

Insya Allah, bulan puasa ini juga menguji kemampuanku sebagai usahawan muda yang baru sahaja ingin berjinak-jinak dengan dunia perniagaan. Sementara menantikan tawaran kerja yang entah bila akan kunjung tiba, molek juga diambil peluang untuk berbisnes secara kecil-kecilan. Mungkin sahaja, pengalaman yang sedikit ini akan berguna pada bila-bila masa akan datang, siapa tahu, kan?

Semalam, berpeluang berterawih di masjid Universiti. Terawih yang agak cepat dilaksanakan, pada pendapat ku...dan tidak terasa sangat zhou' nya,tidak sebagaimana terawihku di masjid yang sama pada tahun sebelumnya. Semalam,bacaan imam tidak berapa jelas, mungkin kerana aku bersolat di dewan atas masjid, tetapi sepatutnya masalah sistem PA tidak sepatutnya wujud di masjid yang berkapasiti besar dan berjumlah hampir jutaan pembinaannya!

Ramadan kali ini juga amat bermakna. Ramadan yang pertama sebagai isteri. Alhamdulillah, tiada masalah untuk menguruskan jadual makan bersahur dan berbuka kerana mungkin sahaja sudah terbiasa membantu ummiku di rumah, lewat ramadan yang lepas.

Ya, rutin yang sama pada setiap bulan puasa, bangun seawal dinihari, bersiap dan memasak dan bersedia untuk solat subuh. Mungkin satu lagi peluang yang patut ku raih...solat tahajud dan taubat yang harus kuusahakan untuk didirikan setiap kali bangun untuk memasak sahur, insyaAllah, tekad untuk mencuba menjayakannya.Gambate!

Buat seluruh tetamu ramadan, bagi kita suatu kesyukuran untuk kembali bertemunya selepas hampir setahun. Alhamdulillah, Allah memberi peluang untuk mensucikan diri kita setelah sekian lama bergelumang dengan noda kemaksiatan dan dosa yang bertimbunan hari ke hari.

Maha suci Allah, kita masih sedar bahawa ramadan ini bukan sekadar datang menyimbah rahmat, tetapi vitalisnya adalah peluang dan ruang untuk kembali ke dalam fitrah diri yang suci, memohon maghfirah dan berdoa diselamatkan daripada azab seksaan api neraka.

Moga ramadan kali ini menjanjikan seribu rahmat dan barakah buat semua daripada kita.
Wallahua'lam
Salam Ramadan Salam Dari Hati


Friday, August 01, 2008

Jika Aku Bidadari Cinta...


Alhamdulillah...
Akhirnya dapat juga menjenguk blog yang sudah lama kubiarkan tidak bertinta. Alhamdulillah juga, interview kerjaku baru sahaja selesai tadi. InsyaAllah, ada rezeki, dapatlah aku bekerja dalam bulan 8 ni setelah hampir dua bulan 'menanam anggur'. Semalam juga ke Technovation Park, menghantar resume, takut2 ada rezeki ku di sana...Ya Allah, murahkan rezekiku dan keluargaku, amin.

Malam tadi, berpeluang menghadiri usrah cawangan di rumah kak syam.Ada 2-3 orang kakak-kakak yang turut hadir dan yang paling muda antara mereka pastilah aku. Dua tiga hari ini, hati agak letih. Fikiran juga.justeru tidak banyak perkara yang dapat kuhadami dan kuteliti. Mungkin juga disebabkan itu, masakanku menjadi tawar (sebagaimana ditanya suami:letak garam tak ikan ni?).Banyak kesedihan dan kekecewaan berselimut saban ketika, entah apa yang dimahukan sang hati ini?mungkin juga sudah lama diri ini tidak bertaqarrub pada Allah?mungkin...ya, sudah lama rasanya tidak ku duduk berlama-lama, mentadabbur ayat-ayat suciNya.Mungkin juga hati ini yang kosong dan menimbulkan 1001 kegelisahan yang entah bila mahu padam.

Fitnah Pada Cinta

Sesungguhnya, aku sering mendoakan sebahagian imanku yang disempurnakan melalui pernikahan ini tidak mengorbankan sebahagian imanku yang sepatutnya kuabdikan hanya kepada Allah. Kisah Abdullah Abu Bakar dan Atiqah sering kujadikan titik rujuk, kepada kecintaan ku kepada Allah dan suami,jauhilah fitnah dalam perkahwinan kami ini dan janganlah dilalaikan kami dengan regukan cinta dunia yang tidak pernah jua putus.

Bagiku, perkahwinan tidak hanya menuntut perkongsian serba-serbi tetapi lebih kepada pengorbanan pelbagai perkara termasuklah perasaan dan hati. Justeru, kesabaran, iman dan taqwa menjadi benteng yang kukuh untuk menongkah arus hidup berumahtangga.

"Cinta itu umpama api, membakar dalam diam tetapi jika dihindari tetap juga mengikuti sebagaimana bayang-bayang..."itu kata ustaz ismail yang kurakami di minda usai ceramah ilmunya dua malam sebelum ini. Apa pun, aku ingin sekali menjadi bidadari cinta yang paling terindah buat semua, kerana bagiku jika dapat kubaktikan seluruh genap dan inci kehidupanku ini untuk kebaikan umat, alangkah bernilainya kelahiran seorang aku ke dunia ini.

Dan, setiap waktu juga, andainya ada ruang untuk kubaiki setiap kelemahan, pasti kulakukan sebaiknya, semata-mata untuk mencapai redha Allah walaupun hakikatnya tarbiyah, mehnah dan sunnah kehidupan itu amat jerih dan meletihkan.perjalanan menuju syurga bukan mudah, itu azimat terbesar yang menenangku pada setiap akhir kata.Maha suci Allah, aku berserah dan bertawakkal atas segala-galanya...moga perjalanan ku ke sana tidak terhenti di pertengahan,insyaAllah

Wednesday, June 18, 2008

a spinning gasing...

Itu ungkapan yang paling ideal untuk merumuskan bentuk gaya dunia baru yang kualami selepas bergelar isteri. Rutin lebih terisi...mungkin sahaja sudah tidak berminat untuk berleka-leka di hadapan TV atau bermalasan bersama bantal busuk...hmm, disebabkan teringatkan suami yang akan pulang dari tempat kerja. letih dan lapar. Aku bingkas meninggalkan kesukaanku-novel, komputer...menyiapkan segala-gala yang belum siap.itulah rutinku yang baru.

Temanku Ikan dan Udang...

Sementara menanti tawaran kerja, all out aku di rumah, menguruskan keperluan yang sepatutnya diuruskan seorang isteri. Paling jemu, aku akan menceroboh masuk ke komputer peribadi suamiku...membaca apa jua yang ada di dalamnya, mendengar lagu-lagu nasyid, menulis artikel, mengarang sajak atau melihat saja gambar-gambar di document nya...

Ada apa dengan ikan dan udang?em, itulah kawan-kawanku yang baru...selalu kugelarkan mereka sebagai anak angkat suamiku. Tapi sering menzalimi mereka kerana sering terlupa memberi makan. hobi suamiku adalah memelihara hidupan laut, pantang melihat ikan, udang yang cantik, pasti akan berkira-kira untuk membelinya. Katanya satu terapi melihat ikan berenang...

Seekor Anjing, Satu Tarbiyah

Namanya Jason. Anjing jiranku sebelah rumah. Sering menyalak kepada orang-orang yang dilihatnya termasuklah aku dan suami. Tapi kadang-kadang ok, baik, sopan je...setiap perkara, baik dan buruk pasti mengandungi hikmah. Jason pun. Mungkin juga sekiranya diteliti dari kaca mata tarbiyah, Jason ini adalah wasilah untuk membina kesabaran dan kemuliaan akhlak kita sebagai jiran. Sesama jiran yang perlu kita beradab dan berbuat baik. Dan memupuk sifat sabar disalak oleh anjing setiap pagi. Em, begitulah juga kalau terpaksa makan ikan kering hangit atau benda yang terbubuh garam berlebihan seperti beehon goreng...sekurang-kurangnya kita masih ada rezki, untuk dimakan...

Salam Sejahtera ke Atasmu

Alhamdulillah, walaupun hampir sebulan barunya usia perkahwinanku, namun setiap hari makin banyak perkara baru yang aku pelajari...terutamanya perkongsian ilmu daripada suami yang banyak membantu dan menyokong dalam mengendalikan bahtera baitul muslim ini.InsyaAllah, aku cuba memberikan yang terbaik sebagai hamba kepada Allah, umat kepada Rasulullah, Isteri kepada suamiku dan anak kepada ibu bapaku

Sampai ketemu lagi ye. Assalamualaikum, salam sejahtera ke atasmu!

Thursday, June 12, 2008

Seindah Ayat Ar-Rum...

Buat sahabat-sahabat yang sudi hadir, ribuan terima kasih diucapkan, begitu juga dengan sahabat-sahabat yang tidak dapat hadir kerana kekangan masa dan keadaan...terima kasih juga kerana mengutuskan doa buat kami berdua.kulampirkan beberapa gambar untuk tatapan kalian semua.


SEKITAR MAJLIS PERKAHWINAN


NAZMAN & NURUL SUJAIHAH
26 MEI 2008-KOTA BHARU


kenapa tak sampai-sampai lagi ni...risaunya masa ni, rombongan pengantin lelaki ada yang sesat tambahan jalan pulak jammed...


Ambil gambar atas pelamin ANGANku dan , masa ni pengantin lelaki baru je sampai...bergambar dalam bilik plak..hmm,macam2 cite di sebalik nak bina bilik ni, masalah kontraktor la...mujur sempat siap


masa potong kek...
sedapnya lauk-pauk kat depan ni, tapi masa tu memang tak lalu sangat nak makan...sibuk ke sana sini situ. kat tepi tu, wan (nenek kesayanganku) baju yang ni, persalinan last hari tu...memg penat betul majlis kahwin ni

Bergambar bersama kedua ibu bapa (umi dan baba) yang pakai baju kelabu dan merah dan mertua (umi dan abah) yang dua-dua pakai baju merah.sekarang dah ada 2 umi.

9 Dulang-hantaran daripada pihak pengantin perempuan. gubahan yang umi dan kak long buat sendiri. terima kasih buat ibu dan kak longku...


9 dulang hantaran juga yang dibalas oleh pihak lelaki...


Bergambar kenangan bersama kawan-kawan, adik2 kampus UM dan sahabiah 2 UTM...Terima kasih semua.ukhwah fillah selamanya.

















Sunday, May 11, 2008

Allaahumma, inni as aluka min khairiha wa khairi ma jabaltaha, wa a'udzubika min syarriha wa syarri ma jabaltaha



"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan wataknya. Dan aku memohon perlindunganMu daripada kejahatannya dan kejahatan wataknya.



(Riwayat Imam Bukhari, Ibnu Majah, Abu Daud dan Ibnu Sunni)Ameen.



Sukar membuat keputusan...sememangnya itulah dilema yang sering membelit diri sejak dulu. Namun, keputusan yang telah kubuat ini, kuharapkan tidak akan pernah membuahkan walau sezarah penyesalan dan kekecewaan...insyaAllah. Dengan panduan dan hidayah Nya, aku meyakini dengan sepenuh hati, jika pilihan inilah yang terbaik untukku.Selaut syukur buatMu, Allah kerana menganugerahkan aku kebahagiaan ini.



Buat sahabat-sahabiah yang dirahmati dan disayangi,

sudikanlah menghadirkan diri ke...

Majlis Perkahwinan Nazman Dan Nurul Sujaihah(@E-manNasuha)

pada isnin (26 mei 2008) dan rabu (28 mei 2008)



Alamat dan peta boleh didapati dari laman blog nazman-nurulsujaihah.blogspot.com

jazakallah, doakanlah kebahagiaan ini agar tidak pernah sirna dilambung ujian, mehnah dan tribulasi dan semoga kekalkanlah ikatan ini hingga ke syurga Allah yang abadi.Amin.

Tuesday, April 22, 2008

(Semasa melawat sahabat diHBSZ,Kota Bahru:Belakang Dari Kiri; kak lin, kak aizu, su,sujaihah, kak ina, unie:Duduk; dari kanan: kak zura,kak huda, kak da, kak wan)

Aku menangisi kalian pada setiap datangnya sepiku
Bersama memori perjuangan luka dan masinnya air mata...

Kenangan, pengalaman, kehilangan dan pertemuan...
Semuanya dicaturkan Allah sebaiknya

Siapalah kita sebagai insan
Yang ingin menyangkal hukum TUHAN?

Aku merindui kalian
Pada setiap bertandangnya kesedihanku
Kepada siapa lagi mahu kulantunkan rasa jiwa ini?

Jika dahulu bahumu yang sering kualasi
Buat melampiaskan duka dan kecewa
Pantas kau alunkan mutiara hikmah dari bibir yang berbicara ayat-ayat Allah
itulah damai yang meyusup masuk membasah jiwa gersangku


Pemergian ini tidak pernah ingin kucatat dalam diari

Kerana keperitannya amat sukar kuhadami

Namun,sunnah ini akan sentiasa berjalan
sebagaimana perginya Rasulullah dari sisi As Siddiq yang membenarkan
Takkan hilang rasa cinta ini sahabat
Jika hati kita bertaut demi kerana cinta TUHAN

Dan berpisah juga kerana disebabkan janji TUHAN
Yakinilah teman.

Monday, April 21, 2008

SOMEWHERE OVER THE RAINBOW...


Seindah Senyumannya...

Assalamualaikum!Dia memberi salam sambil tersenyum apabila aku melintas di hadapannya dan beberapa orang kawan. Adik itu bukan sesiapa padaku, aku tidak tahu siapa namanya,dari mana usulnya, anak siapakah dia, berapa umurnya, tetapi hanya serangkap ucapan salam, aku jadi menulis tentangnya di blog pada petang ini.

Ikhlas senyumannya, bukan kerana berniatkan ingin mengusik atau mengurat sebagaimana kaum adam yang lain, tetapi hatinya bersih kerana dia hanya si anak kecil yang comel, segak dan lengkap berpakaian seragam pengakap. sangat jernih wajahnya.

Apabila melihat budak-budak kecil, fikiranku akan segera mencatat persoalan-persoalan.apakah yang akan ditempa si adik ini untuk masa depannya?Apakah dia akan nantinya berguna untuk dunia,atau menjadi petualang agama dan bangsanya?, atau sahaja menjadi fitnah buat kedua ibu dan bapa?adik, moga kau akan menjadi manusia yang terbaik dan soleh untuk ibu bapa dan agamamu,seringkali hatiku berdesir begitu.

Pagi tadi,adik yang bongsu heboh memberitahu..."umi,ada dua ekor burung atas pokok, duk intai tino(burung betina)"lantas umi memarahi adik kerana berkata sedemikian yang bagi umi sangat tidak elok bagi fikiran seorang budak berusia 8 tahun."pandai-pandai je duk caro hal burung (ambil kisah=caro).begitulah, banyaknya kepincangan hari ini yang melentur dan membentuk generasi masa depan dengan sedemikian acuan,jauh daripada landasan syariat dan andai tidak dibajai, maka akan musnahlah akhlak dan sahsiah...adik-adik kita, bakal anak-anak kita, bakal cucu-cucu kita...em,entahlah.

sekadar menulis....4.15pm/pupuk