Tuesday, September 05, 2006

GURINDAM JIWA


Kecintaanku kepada bidang penulisan tidak dapat dibendung lagi...justeru ku bina blog ini sebagai tempat untuk kutumpahkan segala bendungan rasa dan terjemahan kepada akal pemikiran. Jiwa yang sudah biasa disemai dengan rangkaian kata-kata dan gubahan puisi ini bagaikan kekok untuk tidak mengisinya walau seketika...babaku seorang guru sastera, kata-katanya berangkaian dengan madah dan puisi, nasihatnya telus tersusun, bagaikan siraman air sejuk yang menyiram ke segenap atma. Tarbiyah ku tidak perlu adanya tengkingan dan kata-kata nista, cukup menyatakan akan amaran Allah terhadap insan yang sering terlupa dan lalai, dan strategi itu yang sentiasa digunakan baba untuk menundukkan kedegilan dan sifat merajukku. Baba adalah seorang insan yang banyak mengajarku erti kesungguhan. Dia anak kampung yang berjaya. Dia jarang mengajar anak-anaknya tentang kesenangan. Kesusahannya semasa kecil, terpaksa menoreh getah, belajar bertemankan pelita minyak sering diceritakan kembali kepada anak-anaknya dan itulah yang menjadi sumber inspirasiku untuk kuteruskan perjuangan ini.Perjuanganku sebagai pelajar dan daie kepada agama Allah.

Kesukaanku untuk sentiasa menulis dan mencoretkan kata-kata ini sebenarnya lahir daripada sifat dan didikan semulajadiku sejak kecil lagi...di rumah, terdapat satu rak penuh dengan buku -buku sastera, himpunan puisi karangan penulis terkemuka...dan pastinya aku tidak terlepas menatapnya pada waktu luang. Rangkap pertama sebuah soneta cinta karangan penulis William Shakespear masih kuhafal hingga ke hari ini...Bagiku semua ini adalah anugerah Allah dan perlunya untuk kukembalikan segala manfaat daripadanya ke jalan Allah juga. Ya Allah, izinkan aku menulis untuk ku tegakkan kalimah-kalimah Mu di atas muka bumi ini kerana biarlah andainya hanya dengan kekuatan menulis ini aku mampu untuk bertemuMu di akhirat kelak dan aku redha untuk haus akan jari jemari untuk terus menarikan pena kerana kiranya Saidatina Khadijah juga merelakan tulang belulangnya sebagai ganti demi perjuangan agama.Doakan agar kita semua terus beristiqamah di jalanNya.
Sahabat-sahabat...
Sapulah air matamu, kita bangkit kembali, berjanjilah!

No comments: