Monday, January 08, 2007

Salam Ziarah; Buat Semua Mahasiswa ISLAM

Salam Ziarah;

Seketika di hadapan skrin komputer, pusat bangunan fakulti alam bina, mencari ilham buat tatapan semua, moga-moga sepicing nasihat yang lahir dari terjahan idea dan pandangan yang pastinya serba kekurangan dan kedhoifan ini mampu menggerakan batang tubuh dan akal fikir yang lesu supaya bangkit semula berfikir, mentafsir dan bermuhasabah…epistimologi seorang insan: khilaf, cuai, lalai dan penuh kelekaan…

Usah bicara soal intelek, jika akhlak masih dipertikaikan orang

Kenapa saya berkata begini? Suatu fakta yang sahih tanpa boleh diubah dan dipinda. Antara etika dan adab. Seorang professional yang pastinya berintelektual adalah pastinya beretika apabila dapat memakai tuksedo ke majlis makan malam hotel 5 bintang, namun dia tidak semestinya seorang yang beradab apabila dia memarahi dengan kata-kata kesat seorang pelayan yang tidak sengaja menumpahkan kopi di sut tuksedonya yang mahal itu…berintelektual dan berakhlak? Dua kolaborasi yang hampir sukar untuk ditemui pada zaman langit terbuka, aurat terdedah dan agama dicela ini…kerana seseorang yang berintelek tidak semestinya seorang yang berakhlak, tetapi seorang yang berakhlak mulia pastinya dilihat dan disignifikasikan masyarakat sebagai berintelek dari sudut rohaninya. Bijak pandai mengurus akal fikiran yang berkesimbangan dengan kehendak agama dan rohani. Sebagaimana para ulama’dan ustaz2 di institusi pengajian pondok, tidak pernah menimba ilmu pembinaan, ilmu sc, ilmu kimia, ilmu kejuruteraan tetapi akhlak yang cukup segar dengan warna2 yang terbentuk melalui Al Quran dan AsSunnah. Melihat kepada fenomena ini, tiba-tiba terbersit di jiwa saya tentang betapa dangkalnya kita sebagai golongan yang berintelek sekiranya akhlak kita masih lemah, punah dan berantakan. Alangkah rugi, malu dan penuh kesesalan.

Mahasiswa Universiti sudah jatuh saham?

Mengapa tiba2 dipersoalkan tentang harga dan nilai seorang mahasiswa universiti? Bukanlah bermaksud seperti saham niaga di BSKL, yang asyik2 naik dan kemudian merudum…Melihat kepada sejarah lampau, era 70-an,80-an cukup membangkitkan gelombang yang gah buat mahasiswa kerana pada waktu itu tidak ramai yang mampu ke menara gading. Kalau pun ada, yang terpaksa bergolok gadai tanah, emas dan lembu-kerbau untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Kemiskinan dan sistem pendidikan Negara masih di tahap yang agak lemah dan tidak komprehensif. Kebanyakkannya ke maktab dan menjadi guru dan misi sahaja. Dan nilai seorang mahasiswa pada masa itu sangat bernilai atas faktor keterhadan peluang yang ada dan tidak ramai yang berkelayakan. Namun kini, berbanggakah menjadi mahasiswa universiti yang sememangnya dilimpahi dengan banyak peluang pendidikan, bantuan kewangan, pinjaman dan kemudahan pembelajaran, kalau orang yang suka kepada cabaran, pastinya dikatakan tidak mencabar apabila memanjat puncak gunung dengan sebuah pesawat? Sudah lah senang untuk ke universiti, mungkin dengan hanya kuota yang digagaskan atas asbab perkauman atau bangsa?(terima kasih kepada kerajaan) dan nilai seorang mahasiswa itu pasti lebih jatuh lagi jika akhlak juga tumpul untuk digunapakai dalam kehidupan seharian. Tidak bernilai dan tidak ada manfaat untuk masyarakat dan Negara. Pun sedangkan seruan kerajaan adalah untuk melahirkan seberapa ramai modal insan yang berintelektual.


Apakah Islam?

Apabila ditanya kepada Rasulullah SAW,apakah yang dikatakan ISLAM? ISLAM Itu adalah husnulkhuluq bererti akhlak yang baik. Ironinya,dua nikmat yang sering dipinggirkan mutakhir ini ialah ISLAM dan IMAN. Ada apa dengan kedua-duanya, sedangkan kita mampu memperolehinya dengan mudah, islam dan iman kita adalah dimiliki secara warisan, tidak perlu bermandi darah dan bergolok gadai; jadi tiada yang pelik tentang kehilangannya yang cukup mudah melalui IFC atau pemurtadan agama, betul? Justeru, mengikut kaca mata saya, saya suka untuk mempersetujui pendapat sesetengah orang yang mengatakan jika dikira secara keseluruhannya tiada satupun Negara Islam di dunia ini hatta untuk Negara Arab Saudi yang mengamalkan hukum hudud kerana terlalu banyak masalah akhlak yang masih gagal untuk dibendung dan diselesaikan.

:: Akhlak; tiada di pasaran ::

Berapa harganya sebuah akhlak yang baik?andainya ada, saya juga ingin mengumpul sejumlah wang untuk membelinya biarpun di akhirnya hanya tinggal sehelai sepinggang. Logik akalnya, pastilah tiada kerana akhlak itu dibajai dan dipraktis bukan sewenangnya untuk dijual dan dibeli. Dan kalau mampu dibuat demikian, pastilah antara yang paling kaya di dunia kini bukanlah si Donald Trumph atau Bill gates, tetapi tok2 wali, alim ulama’ dan para sufi yang sememangnya mahal nilaian akhlak mereka. Justeru, berusahalah untuk memperbaiki akhlak kerana mahasiswa yang berintelek jika berakhlak, umpama permata yang bersinar di dalam kebanjiran Lumpur. Kembalikan kegemilangan mahasiswa Islam…jika saya berjaya memperoleh akhlak yang baik itu, saya pasti tidak akn menjualnya sehingga ke mati. Pasti!

Sesungguhnya ISLAM itu tinggi dan Tiada yang lebih tinggi daripada ISLAM

No comments: