Salam Perjuangan kerana Allah SWT
Salam kerinduan buat Rasulullah SAW
Dalam kesibukan yang tidak pernah putus
Keletihan yang tak pernah surut
Kepenatan yang tiada terhapus
Aku menggerakkan kalam...
Sekadar untuk mengisi lompang-lompang masa bergerak kerja untuk pilihanraya yang hampir tiba.
Umi membekali aku beberapa jenis makanan. Kasih ibu tiada bersempadanan. Mahu ke mana?persoalan itu yang muncul menghiasi setiap bibir penghuni di rumahku. Yelah, mahu ke mana malam-malam, bersiap-siap dengan beg dan baju2. Mahu ke bilik gerakan.hanya itu jawapan yang kuberikan kepada setiap pertanyaan yang diaju.
Baba baru pulang dari mengajar.Letih! dengan baju kemeja yang masih belum bersalin, seusai makan malam dia dan umi terus menghantar aku ke tempat yang dituju. Alhamdulillah, aku pejuang yang cukup bertuah kerana keadaan dan orang sekeliling yang cukup memahami dan membantu. Malah tidak keterlaluan, jika aku dikelaskan sebagai 'pejuang yang dimanjakan'
Rasulullah juga disayangi
Alangkah bahagianya nikmat disayangi orang. Segala kehendak akan dituruti malah hati sejauhnya dielak untuk dilukai.Sepatutnya lah Rasulullah menangisi pemergian bapa saudara dan isteri baginda yang tercinta. Asbab mereka berdualah yang sering jua melindungi dan menyayangi rasulullah tatkala manusia kuffar mekah menyisih dan memulau baginda, diancam bunuh dan dihina sehina-hinanya. Alangkah bertuahnya mereka yang disayangi dan sering dihargai.
Tetapi, perjuangan menegakkan islam bukanlah suatu perjuangan yang boleh dianyam mimpi-mimpi yang indah, hakikatnya sukar,payah,letih dan kecewa sering jua datang menghiasi jalan-jalan perjuangan.Inilah sunnah perjuangan, namun inilah juga sebenarnya harga yang perlu dibayar sebagai bukti tulus ikhals kita sebagai hamba apabila menghadap Allah di hari kebangkitan kita kelak.Insya Allah
Jadilah walau si tukang kacau air
Apakah yang dapat kubantu untuk memenangkan ISLAM?Bukankah dakwah dan perjuangan itu berjalan dalam banyak aspek dan waqi'?mengapa perlu disempitkan keyakinan untuk membantu perjuangan hatta menjadi si tukang kacau air di markas atau bilik gerakan? Jika kalian bukan mereka yang petah berpidato, berceramah umum atau yang menjadi agen kempen, mengapa tidak menyumbang walau hanya menjadi pembuat air. Usaha yang ikhlas itu sebenarnya sangat bermakna di sisi Allah, percayalah.
Monologku untuk DIA
Aku berasa sangat tidak selayaknya aku berada di jalan yang penuh suci ini...kerana mungkin sahaja hati yang tidak bersih dan segala cacat celanya aku sebagai hamba yang berdosa ini memalitkan kesan sampingan dalam usaha memperoleh kemenangan buat ISLAM. Allah, jangan disebabkan aku yang berdosa ini, ISLAM terpalit fitnahnya.Aku tidak mahu apa-apa melainkan memperoleh redha dan rahmat Allah. Terasa ingin membawa diri jauh daripada masyarakat, meninggalkan fana dunia dan segala-galanya yang berbaur fasad, tetapi dakwah dan tanggungjawab yang ditinggalkan ini akan dipersoalkan Allah nantinya?
Wahai Al Khaliq...
Aku Memberikan seluruh jiwaku hanya untuk agamaku
Aku meletakkan seluruh penghidupanku hanya untukMu
Aku mempertaruhkan seluruh masaku untuk amal kepadaMu
Aku menghadiahkan setiap titis darah ini ke jalan syahid menujuMu
Monolog ini lah yang mungkin sahaja bersemi dalam setiap jiwa pejuang.
Moga-moga dengan usaha kita yang sedikit ini akan menatijahkan kebaikan untuk agama Allah yang diredhaiNya. Teruslah berjuang...hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, penat dan kantuk ini akan berbayar jua kelak. Hanya katakan sahaja pada hati, yakinlah dengan janji-janji Tuhanmu yang tidak pernah mungkir!
kalam ini diminta berhenti. ada urusan yang perlu diselesaikan.Doakan hamba terus kuat untuk menghadapi hari-hari yang mendatang, bersama kemanisan ujian dan kemanisan iman.Amin.
Penyinar kalam Rabbani
Amal kerana Allah
Nurul Sujaihah
Sunday, March 02, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment