Sudah lima hari berinjaknya ramadan. Moga-moga amal hari ini lebih ampuh dan perkasa daripada semalam. Target ramadan kali ini ialah mesti untuk ku khatamkan 30 juz al Quran secara perseorangan, tidak termasuk tadarus bersama ahli usrah yang lain. Pesaing yang utama semestinya satu-satunya ahli bait ku.(baca:abang@suami). Bersaing untuk menghabiskan khatam lebih dahulu daripadanya.
Insya Allah, bulan puasa ini juga menguji kemampuanku sebagai usahawan muda yang baru sahaja ingin berjinak-jinak dengan dunia perniagaan. Sementara menantikan tawaran kerja yang entah bila akan kunjung tiba, molek juga diambil peluang untuk berbisnes secara kecil-kecilan. Mungkin sahaja, pengalaman yang sedikit ini akan berguna pada bila-bila masa akan datang, siapa tahu, kan?
Semalam, berpeluang berterawih di masjid Universiti. Terawih yang agak cepat dilaksanakan, pada pendapat ku...dan tidak terasa sangat zhou' nya,tidak sebagaimana terawihku di masjid yang sama pada tahun sebelumnya. Semalam,bacaan imam tidak berapa jelas, mungkin kerana aku bersolat di dewan atas masjid, tetapi sepatutnya masalah sistem PA tidak sepatutnya wujud di masjid yang berkapasiti besar dan berjumlah hampir jutaan pembinaannya!
Ramadan kali ini juga amat bermakna. Ramadan yang pertama sebagai isteri. Alhamdulillah, tiada masalah untuk menguruskan jadual makan bersahur dan berbuka kerana mungkin sahaja sudah terbiasa membantu ummiku di rumah, lewat ramadan yang lepas.
Ya, rutin yang sama pada setiap bulan puasa, bangun seawal dinihari, bersiap dan memasak dan bersedia untuk solat subuh. Mungkin satu lagi peluang yang patut ku raih...solat tahajud dan taubat yang harus kuusahakan untuk didirikan setiap kali bangun untuk memasak sahur, insyaAllah, tekad untuk mencuba menjayakannya.Gambate!
Buat seluruh tetamu ramadan, bagi kita suatu kesyukuran untuk kembali bertemunya selepas hampir setahun. Alhamdulillah, Allah memberi peluang untuk mensucikan diri kita setelah sekian lama bergelumang dengan noda kemaksiatan dan dosa yang bertimbunan hari ke hari.
Maha suci Allah, kita masih sedar bahawa ramadan ini bukan sekadar datang menyimbah rahmat, tetapi vitalisnya adalah peluang dan ruang untuk kembali ke dalam fitrah diri yang suci, memohon maghfirah dan berdoa diselamatkan daripada azab seksaan api neraka.
Moga ramadan kali ini menjanjikan seribu rahmat dan barakah buat semua daripada kita.
Wallahua'lam
Salam Ramadan Salam Dari Hati
Thursday, September 04, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment