HARAPAN TIDAK BUTA
Berjalan di jalan yang terang
Agar tiada jatuh tersungkur di persimpangan…
Perhati, tika di jalanan
Bimbang datang ujian menduga keimanan…
Ya. Bimbang itu acap kali menjenguk lewat hari-hariku…banyak yang dibimbangkan. Berbagai-bagai. Bermacam-macam. Berkali-kali.
Kugelar diriku sendiri sebagai lalang. Meliang lintuk ke kiri, kanan, tengah dan bawah mengikut arah angin yang berhembus. Tidak mahu kutinggalkan segala-galanya walau gagal kukendong semuanya.
Segalanya akan tamat jua. Tiap yang susah, yang perit, yang sedih, yang kecewa dan yang pahit, akhirnya akan sirna. Cuma sabar dan tabah sahaja yang perlu menjadi pakaian diri.
Aku sering membicarakan ketenangan dan kedamaian dengan seorang kawan ilmu tsalafi. Namun, dia juga akan membandingkan diriku yang katanya jauh lebih bertuah daripadanya. Dapat belajar ilmu universiti, berpeluang belajar ilmu pondok pula. Dan setiap kali itu, dia akan merendah diri, berasa inferior denganku...walau apa pun, aku tetap berasakan engkau jauh lebih bertuah, sahabat. Dapat belajar ilmu kalam. Ilmu mengenal Allah.
Di mana-mana pun, kita akan diuji. Di universiti ini, peluang untuk iman dan amal itu terhakis jauh lebih besar sedangkan di pondok, ada ustaz-ustaz yang menjadi wasilah tarbiyah kita. Itulah juga antara sebab engkau bertuah…
Walau apa pun, bagiku harapan tidak pernah menjadi buta Cuma ianya dibutakan sendiri oleh kita. Kita yang membutakan jalan untuk harapan itu dipenuhi. Mengharap kepada cinta ilahi, namun malas untuk beramal, mengharap diredhai Allah, namun saban hari bergelumang noda dan maksiat…mengharap kejayaan dan kecemerlangan namun masih tidak melakukan islah dan perubahan…jadi bagaimana?ya, harapan tidak buta. Cuma kitalah yang ‘tidak dapat melihat’.
Wallahua’lam.
Monday, March 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment