Saturday, March 31, 2007

Nota Rindu 1

“Kenapa tak balik?”
Laju sahaja ayat yang terpacul dari mulut adikku tika aku menelefon ke rumah tempoh hari.“Sibuklah, tak sempat nak balik.” Suara sudah berubah getaran, sebagaimana biasa emosi seorang aku yang bergelar muslimat. Antara ingin bersuara dan menahan tangis di hujung talian.” Ruginya jadi orang sibuk ni”sambungnya lagi.
Mujur duit yang hampir kehabisan bagaikan menyelamatkan keadaan. Kalau tidak, lakonanku tidak akan menjadi lagi. Berlakon untuk berpura-pura natural dan gembira di sini sedangkan hati meronta-ronta…libang libur, rindu mahu berjumpa keluarga ini tidak pernah padam dari hari ke hari…

Bukan ada yang istimewanya di rumahku itu. Biasa-biasa sahaja. Tapi yang paling istimewanya adalah penghuninya. Penghuninya adalah insan-insan yang kusayang dan beraja di segenap jiwa.
Bagaimanalah nantinya jika aku benar-benar terpaksa berjauhan dengan mereka pada suatu masa kelak? Sebenarnya mereka sering melemparkan rungutan setiap kali aku pulang bercuti hanya dalam tempoh yang singkat, terutamanya umi.

“Cuti pun bukan ada lama kat rumah, asyik pergi program je. Kalau dah pergi tu, tak ingat dah pada umi” Begitulah setiap kali umi mempsikologikan aku. Namun selepas beberapa kali memujuk, dia pasti akan mengalah malah akan menjadi penyokong kuat ku untuk ku berhujah pula dengan baba dan memohon dana simpati. Umi, terima kasih atas segala pengorbananmu. Umi banyak menyokongku walau yang lain membantah.

“Baba tengok kak ni asyik sibuk ke sana sini je waktu cuti pun. Baik lah duduk di rumah…lepas grad ni, baba nak kalau boleh kak belajar memasak, menjahit…” baba ku pula adalah seorang idealis yang berjiwa kebapaan. Apabila dia memprotes tindakanku, dia akan diam tanpa memberikan apa jua jawapan atau akhirnya dia akan berkata “ikutlah…”Apa yang sering dibangkitkanya adalah keselamatanku tanpa ditemani muhrim maka tindakanku adalah mengusulkan beberapa nama (adikku atau kawan2) untuk dijadikan teman. Kena pandai guna strategi dengan ayah ku ini…

Dan paling aku ingati adalah adik-adikku. Aku ada lapan adik di bawahku. Apabila sahaja aku balik, semuanya akan berkerumun dan bercerita dan meminta macam-macam denganku. “kak, ajar kerja sekolah, kak buat air, kak nak nasi, kak teman pergi toilet, kak, jom main Ps2, kak, cari baju, kak nak duit…”
Kenangan bersama menjadi penawar rinduku pada mereka. Adik-adik adalah racun dan penawar buatku…lapan orang bererti lapan fiil dan masing-masing berkumpulan.
Kumpulan yang suka study dan tidak menghiraukan hiburan, kumpulan happy go lucky sampai malas buka buku pun ada dan kumpulan individualistic yang tidak mengendahkan orang sekeliling pun ada…aku sebagai liason, kena masuk ke setiap kumpulan dan menjadi pendengar kepada setiap masalah yang berlaku.


Sehingga saat aku menaip ini, aku tersenyum-senyum sendiri mengenangkan jenaka dan keletah mereka. Mereka sering menyindirku “tak menjadi pun nak buat bekeng (garang)”, dan selalunya mereka akan ketawa-ketawa walaupun mengaduh juga apabila lidi jalin dan rotan hinggap di belakang mereka.
Lidi jalin adalah beberapa batang lidi yang dijalin sendiri oleh baba dan umi. Baba kata dia menjalin lidi dengan bacaan bismillah, buat memukul syaitan yang ada pada diri anak-anak…moga-moga menjadilah. Kata-kata itu juga yang kugunakan untuk memujuk adik-adik selepas memukul mereka. Kalaulah mereka tahu, betapa sedihnya untuk memukul mereka dan melihat mereka menangis… Adik-adik masih mentah untuk mengetahui hakikat kehidupan ini. Pada saat iman dan agama mula digadaikan manusia untuk dunia, janganlah adik-adikku tergolong dalam golongan alfasikun dan almunafikun yang dilaknat Allah kerana kejahilan mereka..nauzubillah.

Hidupku untuk Allah. Maka apa jua yang menuju ke arahNya, aku akan redha walaupun terpaksa menanggung segunung rindu untuk mereka yang tersayang…terpaksa menahan gelodak keinginan untuk pulang ke rumah, terpaksa menahan apa jua kehendak dan tuntutan kerana natijah berkorban kerana Allah pastinya tidak akan pernah menjadi penyesalan di kemudiannya.
InsyaAllah.


No comments: