“Kenaikan Yuran Sekolah;Isu Kebajikan Hanya Retorik?”
Apabila tiba di ambang pilihan raya, masing-masing akan sibuk mencari apakah manifesto yang sesuai untuk dicanang dan digembar-gemburkan kepada seluruh rakyat. Jalan yang berlubang akan diturap, lampu-lampu jalan akan dipasang, harga barang keperluan akan cuba dikurangkan, universiti akan didirikan, gaji bulanan akan dinaikkan, cuti tahunan akan ditambah, segala-galanya begitu positif, optimis, opportunis dan mungkin juga retorik?
Berita kenaikan harga tepung, minyak masak, yuran sekolah bahkan cerita tebaru yang didengar dari selatan tanah air, beberapa buah sekolah telah mengenakan yuran tandas bernilai RM3 kepada semua pelajar perempuan sahaja. Kenapa? Ini kerana yuran tersebut dikatakan sebagai yuran famicare, untuk tujuan maintenance tandas wanita dan upah untuk membersihkan tuala wanita yang dibuang pelajar di sekolah itu. Nah!nampaknya kesabaran pihak sekolah yang tidak lagi terkawal menyebabkan mereka mengambil tindakan meminta wang sebagai menguruskan ‘tender kebersihan’ penuntut-penuntut perempuan sekolah mereka. Nampaknya, sekolah pada hari ini juga tidak mahu lagi bernaungkan Kementerian Pelajaran Malaysia, justeru itulah mereka begitu berani menambah bayaran tambahan sesuka hati mereka sahaja.
Bagaimana pula jika hal sebegini bersangkut-paut dengan kuasa PIBG (Persatuan Ibu Bapa Dan Guru)? Kalau pun berfungsi sebagai pengusul cadangan dan pemerhati dalam mesyuarat agung antara sekolah dan ibu bapa, sepatutnya belum boleh menggubal apa-apa tuntutan dan syarat baru untuk perlembagaan sekolah jika tanpa kebenaran Kementerian. Negara kita kan Negara berdaulat dan berperlembagaan.
Kenyataan rasmi daripada Menteri Pelajaran Malaysia, (Akhbar Kosmo; bertarikh 6 Januari 2008) yang mengatakan bahawa yuran tambahan itu bukanlah sesuatu yang wajib dan pihak ibu bapa boleh memilih untuk membayar yuran tersebut atau tidak nampaknya boleh memberi jaminan kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan dalam menangani masalah yuran ini. Namun, suatu penyelesaian yang lebih ampuh masih lagi diperlukan bagi merungkai permasalahan isu terbaru yang melanda negara ini.
Kalau seekor kerbau membawa lumpur semua yang lain pasti terpalit.Begitulah ungkapan yang paling ideal untuk mendefinisikan isu penambahan dan kenaikan yuran sekolah ini. Rakyat Malaysia sebenarnya amat bijak dalam menilai dan melihat spektrum sebenar pergolakan isu ini. Kalau namanya isu masakan boleh ditamatkan dengan segera. Janganlah kita hanya menunggu apa-apa isu itu tamat dengan sendirinya, sebaliknya berfikir dan bertindaklah mencari jalan penyelesaiannya! Bukankah sifat berusaha itu adalah sebenarnya nilai modal insan yang dicari-cari Perdana Menteri kita selama ini?Jika harimau hebat pada belangnya, manusia pula hebat pada akalnya, tepuk dada tanyalah di mana kita sebenarnya
No comments:
Post a Comment