Monday, December 17, 2007

(Idea untuk menukilkan post ini setelah membaca novel Bukan Yang Pertama...karya Salina Ibrahim)

Kuasa Makanan!

Makanan dikatakan mempunyai aura dan kuasanya yang tersendiri, bukan kerana ia sememangnya disertai dengan aroma atau rasa tetapi jelas bahawa signifikasi daripada makanan ini mengarah kepada banyak perkara...Ada orang kata makanan boleh jadi manifestasi kemakmuran, malah juga dianggap sebagai suatu yang menggembirakan...contohnya bila sahaja ada yang mengajak belanja atau 'makan FREE' semuanya akan tersenyum meleret sahaja...

Anggapan bahawa makanan adalah ubat yang paling mujarab untuk mengatasi kesedihan, stress atau kecewa juga wujud, caranya ialah makan puas-puas sampai hilang semua tekanan perasaan tu, dan melalui makanan jugalah seseorang itu dapat menambat hati seseorang atau memujuk atau meredakan marah...

Ada yang sanggup menghabiskan masa dan minyak kereta,memandu ke lokasi atau destinasi di mana diomongkan tempat makannya sangat sedap dan murah pula..kuasa makanan, betapa jauh pun, kita sanggup mendapatkannya, asalkan puas hati!

Bahkan terlalu banyak sekarang ini, dipertontonkan kepada kita rancangan TV yang berorientasikan food services dan masakan...contohnya Jalan2 cari Makan...Dapur Selebriti, itu belum kira apabila tibanya bulan Ramadhan...tiap-tiap petang ada rancangan masakan...

Namun harus diingat, hanya dengan makan benda yang baik dengan niat yang baik akan menjadi IBADAH.Menyediakan makanan untuk orang yang lapar juga akan diimbalkan Allah dengan ganjaran pahala yang besar. Cuba ingati kembali beberapa kisah terdahulu tentang makanan ini...

***Dengan sekeping roti yang diberikan kepada seorang fakir dengan ikhlas, doa seorang ibu dimakbulkan Allah apabila anaknya dibaham harimau...

***Cerita sahabat yang mengajak Rasulullah untuk makan di rumahnya semasa Perang Khandak juga perlu dijadikan pengajaran yang besar buat kita. Jabir Abdullah, melihat Rasulullah menahan lapar terus menyuruh isterinya memasak sesuatu. Pada ketika itu, hanya ada segantang gandum dan seekor anak kambing yang boleh disembelihkan, isterinya berpesan supaya tidak mengajak terlalu ramai kerana dikhuatiri makanan tidak mencukupi. Tetapi, Rasulullah dengan senang hati mengajak semua orang untuk ke rumah Jabir...Apa yang berlaku?

Makanan yang sedikit itu akhirnya mampu mengenyangkan lebih 1000 orang tetamu yang hadir ke rumah Jabir. Inilah kesannya makanan yang berkat tadi dan keikhlasan hati Jabir.
Begitulah...

Nota kaki:

Seandainya momentum gerak kerja dakwah kita juga boleh digerakkan sebagaimana dengan kuasa makanan ini, cantik juga...kurang-kurang, semua orang akan bergandingan, bahu membahu melaksanakan misi dakwah ini sebagaimana perlunya makanan dalam kehidupan manusia...betul tak fikiran penulis ni? No words anymore.

Wednesday, December 12, 2007

something to share with...


Lama rasanya tak update...pejam celik pejam celik dah nak raya lagi sekali.Hari raya haji...Pengorbanan. Istilah yang memang cukup simbolik dengan raya korban ini.

Sebenarnya banyak yang kita kena korbankan dalam hidup ni...hidup tidak selalunya suka, ada ketikanya ujian duka itu pasti datang. Teman paling akrab dengan diri sekarang adalah sibuk dan letih...alhamdulillah, nikmat kerehatan sangat2 terasa apabila pulang sahaja daripada kerja lewat petang. Makan dan berbual juga tidak lama dengan adik-adik, kerana rasa penat yang melilit diri saban hari...kesian mereka. Ingin sahaja selalu bercerita dan mengajakku sama-sama menonton cerita, namun pasti yang lebih utama untuk kupilih adalah tidur!

Inilah pengorbanan. Pilihan ini adalah yang kubuat sendiri tidak lama dahulu, justeru mahu apa lagi kurungutkan segala-galanya?tidak mengapa, setiap perkara ada kos melepasnya tetapi untung bersih daripada berjualan letih dan kerja ini ialah aku dapat banyak pengalaman baru.

Minggu ini, cabaran untukku galas sebagai pengarah kursus. Bermula daripada bahagian teknikal sehinggalah menjadi pengerusi forum semuanya kubuat sendiri, tidak ada lagi unit-unit kecil yang membantu sebagaimana aku di kampus dahulu.zaman kampus sudah berlalu...inilah namanya pengorbanan. Semuanya terletak atas bahu.

Erti pengorbanan adalah berbeza mengikut individu...bagiku pengorbanan yang sebenar ialah kesanggupan kita bergolok gadai segala-galanya demi memenuhi tuntutan agama dan syariat...hatta diri dan keperluan kita sekalipun. Bukankah hidup kita untuk Allah, mengapa mahu berdiplomasi dan berkira tatkala sampai saat untuk kita berkorban?

tepuk dada, tanyalah iman
Mohon ampun daripadaMu, ya Allah..sesungguhnya akulah hamba yang sering menzalimi diri sendiri...

Monday, November 26, 2007

Jatuh Cinta!
Mungkin itu istilah yang sesuai untuk penulis ungkapkan saat ini...bernafas dari jiwa yang tenang dan damai bagi diri adalah cukup-cukup bermakna walau terapung di sekelilingnya sejuta mehnah dan ujian...aduh saspensnya, jatuh cinta pada siapa ye?

Aku Cuma Lalu
Kau yang merintis denai itu
Aku cuma lalu
Salahkah aku
Jika rumput mati
di tengah-tengah
hujan yang enggan pergi?

Annual Bakri Haron
21 Disember 2006

Sebenarnya,sudah lama diri penulis mencintai seni sastera dan penulisan. Tambah-tambah pula
adanya tumbuh golongan penulis muda yang betul-betul berjejak dengan minat dan fikrah diri, daripada nukilan mereka, makin bercambahlah kecintaan dan semangat untuk menulis...walaupun acap kali dikata oleh seorang teman (malas update blog)...tapi kesibukan diri ini tidak pernah padam kecuali dirilah juga yang memadamkannya dengan rehat yang diciptakan sendiri-sendiri (ambil cuti/bercuti sakit)...

Memang sudah lama ingin menerbitkan sekurang-kurangnya sekali sebuah buku dalam hidup, mungkinkah?mungkin ya dan mungkin tidak...insyaAllah,suatu masa yang diizinkan Allah...panjangnya angan-angan...

Biarlah apa pun, Moga setiap butir bicara, denyut nadi, deru nafas dan aliran darah kita terhimpun kebaikan dan hikmah yang sejahtera buat membina kembali kegemilangan ISLAM pada masa ini dan selama-lamanya pada masa hadapan.
Wallahua'lam.

Salam Hari Lahir...


SEMOGA TERUS DALAM LEMBAYUNG RAHMAT ALLAH...

Nota Penulis: Selamat Hari Lahir ke-24 buat sahabat, Rosmaria...
Terpaksa wish awal, takut tak sempat, need to be in Perak 1 DISEMBER...




Sunday, November 18, 2007

Impian Di Hati...

Tugasan Penting Tahun Ini:


1) Belajar Kereta-Dapat lesen
2) Kumpul Dana Peribadi (RM..........)
3) ...........................?
4) Istiqamah dalam amalan Sunat
5) Mujahadatunnafsi-Tazkiyatunafs (Tambah)
6) Sifat Malas +suka merajuk (kurang/buang)
7) Luangkan masa untuk keluarga, sahabat dan DIRI( tambah)

Monday, November 05, 2007

YANG KUHORMATI...

Tolong tunjukkan,
Di mana ganti insan yang satu ini
Makan pakainya sederhana
Tidak bermewah dengan imbalan yang ada
Kerna dia tidak menagih syurga dunia...
Jika ada,
Tunjukkan lah di mana gantinya
Biar dapat sama-sama dalam berjuang
Mentadbir alam dengan hukum TUHAN
Dihormati kawan dan juga lawan...

Sunday, November 04, 2007

Sometimes...



Sometimes
Sorry Is Nothing

To Those Who is Suffering

But sometimes...

One word of Sorry

Can break the ice berg in feeling Disappointed and Angry ....
Love Comes again stepped in

So...

Sorry For Me

To You

In Everything...

To those
who knows me
Later
or Before...

ANUGERAH




Selamat Bermusafir Di Bumi Sebagai Khalifah Allah Yang Soleh
Buat Miqdad yang comel...Moga menjadi cahaya mata yang dapat menyejukkan hati abi dan uminya kelak. Amin.

kredit kepada: Akh azdihar

Friday, November 02, 2007


Titipan Buat Pejuang-peju
ang 1o November;

Salam Perjuangan,
Detik demi detik yang terhitung, semangat kalian pastinya makin bugar

Jalan menuju syahid makin dekat
menghampirimu, justeru bergembiralah

Mujahid,
Engkau tinggalkan segala-galanya demi perjuangan
Terpaksa mengenepik
an sebuah kerisauan
Tertangguh janji, impian dan harapan
yang belum tertunai
Dari kejauhan
ini, Aku menitipkan setulus doa buatmu
Moga engkau selamat dalam jagaanNya...

Janganlah ragu dengan janji Tuhanmu

Bukankah syurga dan nera
ka itu pasti
Bukanlah akhirat itu dagangan yang
dimain-mainkan
Kerana kelak darah juang yang membasah d
i tubuhmu
Jadi bukti agung...

Tatkala bangkitmu di hadapan Nya kelak
Bersabar dan teruslah berjuang
Setiap k
eringatmu akan dibalas jua
Dengan mutiara-mutiara cintaN
ya

Ayuh mujahid
Jangan kau berpaling ke belakang lagi
Mara dan terus lah mara

Syed Qutb dan Al Banna
Menantimu di Jannah!


Matahari,
Segeralah mengambil malam ini
Aku tidak ingin menangis dalam kegelapan lagi
Bulan itu cantik
Namun cantik itu mahal nilainya
Sukar untuk dijaga
Sering dicemburukan juga
Biarlah matahari datang menjemput malam ini
Kerana siang lebih berharga
Untuk ku mencari jalan pulang

Friday, October 19, 2007


RAMADHAN YANG DIUJI, SYAWAL YANG PENUH BERMAKNA...


Seawal ramadhan, terlalu banyak ujian dan mehnah yang mendatang dalam diari harianku...Maha Suci Allah yang memberikan ujian buat hamba, sesungguhnya dengan ujian yang senantiasa mencurah-curah datang ini, hati makin dekat padaNya.

Syawal akhirnya tiba...dalam lipatan syawal ini, hati terkenang banyak perkara. Yang paling bernilai pada kali ini ialah pertemuan dengan ramai orang baru, memulakan sebuah episod yang baru dalam hidup. Ungu...sangat bererti saat ini.

Apa yang paling bernilai dalam hidup selain iman dan taqwa, bagiku adalah kenangan semalam. Sekadar untuk kenang-kenangan... Mungkin sahaja, terlalu banyak perkara lain yang mesti dan perlu difikirkan tetapi cebisan kenangan ini mungkin sahaja boleh menjadi sesuatu aset yang berharga dalam hidup, andainya ia dikenang. Sejarah kehidupan kita juga bermula dengan sebuah kenangan lampau, zaman kini yang wujud adalah serpihan sejarah lampau yang pada suatu ketika pernah hadir...

Indahnya syawal disebabkan adanya sebuah kenangan di dalamnya. Kenangan zaman kecil, bermain mercun(orang kbharu memanggil:pedo), mengumpul duit raya, berjalan dan berziarah. Namun,segala-galanya hanyalah kenangan, ia akan menjadi indah saat ia dikenang...


Salam Lebaran, Maaf Zahir Batin Buat Semua


sekadar untuk kenang-kenangan...

8 Syawal 1428 H




Friday, October 05, 2007

Monday, October 01, 2007

KETAHUILAH...



Jenis Wanita

“Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang Ananah, yang Mananah, dan yang Hananah, dan jangan engkau kahwini yang Hadaqah, yang Baraqah dan yang Syadaqah.”


Wanita Ananah:banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.
Wanita Mananah:suka membangkit-bangkit terhadap suami. Wanita ini sering menyatakan, “Aku membuat itu keranamu”.

Wanita Hananah: menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

Wanita Hadaqah: melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

Wanita Baraqah: ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.

Wanita Syadaqah: banyak cakap tidak menentu lagi bising.


Catatan daripada: Imam Al-Ghazali

Friday, September 28, 2007

Erti Sebuah Rindu


Salam ramadhan 1428 Hijrah,
Puasa sudah separuh bulan. Tiba-tiba ingatan rindu yang menggunung tinggi kepada Junjungan mulia, Muhammad SAW lewat solat terawih semalam. Tatkala namanya disebut, seluruh jemaah beramai-ramai menyambutnya dengan selawat. Rasulullah, sudah 1400 tahun lebih, engkau meninggalkan kami semua...
Aku sering bertafsiran sendiri. Amat jauh fikiran ini menerawang, mungkin sahaja sampai ke planet Marikh, siapa tahu...berfikir tentang kehidupan yang dipalit sejuta corak dan warna, kisah dan pengalaman. Adakah dengan kehidupanku pada saat ini, telah berjaya mendapat redha Tuhan?atau sebaliknya... Tazkirah ringkas daripada Ustaz Borhanuddin, sementara menantikan iftor jamaie bersama sahabat-sahabat MSK semalam, kuamati dengan penuh perhatian. Ustaz melafazkan bicara tazkirahnya tentang perjuangan dalam harakah islamiah. Apakah jaminan yang disediakan Allah untuk kita sebagai pejuang ISLAM dan sampai setara manakah tanggungjawab kita untuk menyebarkan dakwah...semuanya telah acap kali disebut semasa ku masih di tahun pengajian lagi.Semua itu kuambil sebagai satu momentum untuk kembali bersemangat dalam perjuangan... Sekian lama aku di tanah kelahiran, bumi Kelantan yang barakah ini, aku benar-benar menjadi seorang perindu. Rindu pada sahabat-sahabat dan semua kenangan yang kutinggalkan, bersemadi di bumi selatan. Rindu untuk kembali berterawih di masjid universiti, berbuka bersama teman-teman dan segala-galanya bermain di kanvas minda tanpa henti! Ramadhan kali ini benar-benar menguji diri... Ramadhan belum sampai ke penghujung, namun terasa bagai sekejap sahaja hari-hari yang berpergian...moga-moga aku sempat merasa halawatul iman walau seketika, lewat ramadhan pada kali ini.Amin.
Dengan Nama Allah, aku hidup, dan kepadaNya jua aku dikembalikan...



Wednesday, September 26, 2007

Jangan takut untuk membuat kesilapan. Sebab kesilapan semalam lah, kita berwaspada pada hari ini untuk tidak melakukan perkara yang sama...berulang-ulang kali. Namun kadang kala, kesilapan yang sama terjadi juga, kerana apabila namanya insan, sifat leka, lupa, cuai dan alpa itu akan senantiasa ada...kecuali kepada mereka yang benar-benar 'jaga'...

Mutiara kata;
Iman itu ibarat pakaian, ia akan lusuh dan buruk, maka sentiasalah memperbaharui iman di hati...

EmanNasuha
Sentiasa beramal kerana Allah

Tuesday, September 25, 2007

MY FAVOURITE SWEET FOOD...


The Akok, pancake like, made from duck eggs, brown sugar, pandanus leaves and coconut milk. Baked in a special “bahulu” like copper case heated over light fire. Look simple and perhaps simple ingredients too, but only the most skillful pastry-maker could bring out the real flavour
Notes; Kelantan Darul Naim is not only known with its variety of cultural but also famous with its unique food. For centuries, the originality of the taste made by the ancestors is not changed. For those who come to visit here must try these traditional food. You will not forget the taste and for sure you will dream to have it again...like me!

Sunday, September 23, 2007


SALAM RAMADHAN AL MUBARAK

ikhlas DARI;

PUPUK NILAI MURNI BERHAD

untuk semua rakyat Kelantan di perantauan

Semoga Kita semua sentiasa dalam rahmat dan redha Allah




Jenayah Semakin Kejam; Bala' Tolak Hukum Allah

"Alif Laam Raa. A book which we have revealed to you (Muhammad) so that you may lead the people from out of the darknesses into the light by their Lord's leave to the path of the All-Mighty, the Praiseworthy." [Qur'an 14:1]


Malaysia gempar lagi!Belumpun usai cerita tembakan di Batu Burok, dunia media negara sekali lagi geger dengan kisah menyayat hati, kes pembunuhan dan penderaan seksual persis binatang ke atas allahyarham adik nurin jazlin jazimin. Kemarahan dan kejengkelan yang teramat bertamu di setiap ruang hati rakyat kini, apatah lagi keluarga mangsa yang sememangnya amat sedih dan kesal dengan apa yang berlaku walaupun mereka mengakui percaturan ilahi yang ditetapkan Allah SWT ke atas mereka.

Dari sudut pandangan peribadiku, nyatanya banyak yang ingin kusentuh berkenaan dengan kejadian ini. Naluri sebagai seorang hawa amat terguris dan tersentuh. Dapatku bayangkan hancur luluh si ibu melihat anak (mangsa) yang disayangi dibunuh, didera dan diaibkan sebegitu rupa. Perbuatan persis haiwan ini tidak lain tidak bukan hanya boleh dilaksanakan oleh orang yang tidak ada iman dan tidak ada akal(tidak siuman). Tidak akan tergamak untuk kita yang rasional ini untuk membunuh hatta seekor anak kucing, apatah lagi seorang budak perempuan melainkan apa yang kusebut tadi; orang yang tidak berakal dan tidak beriman...

Justeru marilah kita bersama-sama mengkoreksi setiap yang berlaku ini dengan mata hati kita sebagai hamba. Mungkin juga yang berlaku ini adalah ujian buat keluarga adik jazlin, tetapi bagi kita semua mungkin juga sebagai suatu peringatan daripada Allah tentang kelekaan, kedegilan dan kejahatan yang telah kita semua palitkan pada bumi ciptaanNya.

Masihkah kita ingat, isu hukum hudud yang diperdebatkan sehingga mahu mengambil tindakan mahkamah untuk menolaknya?hebatnya undang-undang manusia kerana begitu angkuh menafikan KPI(Key Performance Index) keberjayaan sebuah hukum asal ciptaan Allah SWT. Pandainya manusia...

"Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."(surah Yusof:21)

Dalam buku karangan ustaz fahrul irfan, Fiqh Al Waqi', ada menyebut tentang kesan yang dinatijahkan ke atas sesuatu, asbab daripada dasarnya yang pincang.Makna pincang ini sangat luas dan bergantung kepada apa yang dibincangkan. Sebagai contoh, asas keluarga yang baik akan logiknya melahirkan anak-anak yang baik dan keluarga yang sejahtera. Begitu juga dengan pemerintahan yang punah ranah, jauh daripada syariat Allah pastilah akan mewujudkan 1001 kerosakan dan kebejatan dalam negara dan rakyatnya.

Pepatah arab ada menyebut;

Adakah tumbuh buah kelapa dengan tidak menanamnya?Ia terbiar dan tertanam-tumbuh sebagai pohon kelapa?Kesimpulannya;

apa yang terbina daripada kesalahan, hasil dan natijahnya juga adalah salah. Wahai umat manusia, kembalilah kepada dzat yang menciptakan.Kepincangan ini hanya boleh dilangsaikan dengan tertegaknya ISLAM yang sebenar-benarnya dalam diri setiap daripada kita. Ayuhlah, kita mulakan saat ini juga.

Wallahua'lam.

Wednesday, September 19, 2007

"...yang penting, setiap kerja yang kita buat, kita kembalikan kepada Allah.Baru diredhai.Apa pun, niatlah semua benda kerana nak cari redha ilahi.Moga Allah memberi seribu nikmat.."

Antara mesej yg kuterima malam semalam. Inilah penawar yang dianugerahkan Allah buatku. sahabat-sahabat seperjuangan, kasih sayangnya tidak pernah sirna. Masih teringat betapa sedihnya saat berpisah semasa aku di tahun akhir semester pengajian. Terutamanya, apabila tiba bulan ramadhan begini...Rindu pada mereka kembali mengetuk pintu hati.
Hati terasa kosong saat ini.


Kosong...
Maafkan aku untuk segala-galanya
Ramadhan kali ini benar-benar menguji diri
Segala puji buat yang Maha Mengetahui...
Tetapkanlah apa-apa yang terbaik untuk duniaku dan akhiratku, TUHAN

Sunday, September 16, 2007

TAK SAMA DAN TAK SERUPA

Nota Penulis: Pada suatu saat, ketika kita dikehendaki membuat suatu pilihan dan keputusan,
Jangan sesekali prinsip dan pegangan tergadai..kerana jelas matlamat itu tidak pernah
menghalalkan cara...

Friday, September 07, 2007

Wednesday, September 05, 2007


Sesaat nafas yang mencelah rengkungan, amat berharga pada setiap larian detik kerana kita tidak tahu di manakah penghujung berakhirnya sebuah kehidupan. Justeru, hidup ini mestilah sentiasa didasarkan untuk mendapat mardhotillah, berimpian untuk mencapai husnul khatimah dan paling utama sentiasa memanjatkan doa untuk memperoleh sakinah dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Muslim yang baik ibarat sepohon kurma...itu sabda Rasulullah. Hampir terlupa akan Qudwah Hasanah kita yang sekian lama meninggalkan kita semua, apakah masih lagi memegang kepada 2 wasiat yang ditinggalkan?AlQuran dan Assunnah...mungkin ya tetapi penghayatan kepada dua aset ini ternyata masih kurang.Kenapa Rasulullah menjadikan pohon kurma sebagai perbandingan? Kerana kurma merupakan tumbuhan yang banyak khasiat dan kegunaan, daripada buah boleh dijadikan makanan, dikomersialkan sebagai jus untuk menjana kewangan, pelepahnya boleh dijadikan alas tidur, tempat mencatit ilmu dan dibuat tempat perlindungan malah biji kurma boleh pula dijadikan kancing baju atau jilbab. Begitulah antara khasiat dan kelebihan pohon kurma.

Muslim yang baik ibarat pohonan kurma...
Tidak terkesan dengan panasnya mentari di padang pasir
Tetap jua mengeluarkan buah yang manis walau kekurangan air
Ibarat diri kita...
Takkan sesekali berundur walah dicalari seribu duri dalam perjuangan ini
Takkan mengeluh dengan sesekali ujian yang datang menghampiri...
Tapi mampukah? Lidah memang tidak bertulang justeru sifatnya boleh menggulung...
Boleh sekadar menyatakan tetapi tidak mengamalkan...

Andainya dian sudah berputus asa untuk menerangi kegelapan
gantikanlah dirimu sebagai cahaya, seandainya matahari tidak lagi bersinar hari esok
Jadilah penyinar maya walau sekadar untuk hari ini...
Ana mendoakan kita semua akan berjaya sebagai jundi yang dikasihi Maha Pencipta

Iman nasuha
Amal Kerana Allah



"Harga selaut syukurku adalah setitis nikmatMu di bumi"



Perlahan-lahan ku akui betul benarnya lirik lagu mengemis kasih, dendangan Raihan itu.

Penat sehari-hari, penat berhari-hari dan penat menghitung hari-hari sebagai insan yang menghadam hakikat lemah dan tidak berupaya...Oh Allah, aku mohon seribu ampun andainya walau sedetik aku mendatangkan murkaMu. Esok, Ramadhan akan kembali bertandang. Mungkinkah pintu taubatMu mampu kubuka setelah berkurun menghimpun dosa?
Ku mengharapkan Allah sentiasa di sisi pada setiap detik dan ketika, kerana TanpaNya, nescaya manusia itu gagal melaksanakan walaupun hebat berperancangan

Maha suci Allah yang menciptakan...



Tuesday, August 28, 2007

Di mana-mana pun, aku berasakan tidak boleh lari daripada dunia penulisan... Acap kali begitulah monologku seberapa ketika.Mungkin ianya sudah lama bersebati, sejak kecil dan kini usia sudahpun menginjak 23 tahun, 7 bulan dan 28 hari.


Tugasku sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat usahawan di negeri kepimpinan ulama' Tok Guru Nik Aziz ini menuntut untuk ku menulis dan menyampaikan informasi kepada umum. Untung juga, dapat menimba pengalaman menjadi penulis berita tidak langsung, sekurang-kurangnya dapat juga menatap hasil tulisan sendiri di akhbar tempatan.


Banyak berhubung dengan pelbagai jenis orang...pelbagai macam orang, itu belum lagi ditambah dengan orang yang ber 'fiil' macam-macam...semuanya memerlukan kesabaran yang tinggi. Mujur juga, Allah memberi peluang kepadaku menjadi pengajar sementara di sebuah pusat tuisyen.Keletah anak-anak murid pada setiap malam ahad dan isnin, sedikit sebanyak mengurangkan tekanan dan himpitan kerja. Mujur dan mujurlah...


Suatu waktu dahulu, aku teringin benar menjadi penulis sepenuh masa, namun masa yang mendatang kini menjauhkan segala niat dan impian itu. Kondisi yang lemah untuk merealisasikannya.InsyaAllah, suatu masa nanti...akan ada di pasaran, buku hasil penulisanku sendiri...Doakan!


Moga hidup ini sentiasa bertemankan taqwa kepadaNya

eMANnASUHA...

Wednesday, August 22, 2007


Jadual Mingguan kali ni, sangat padat…
Bermula dari

17-20hb-Berada di Johor kerana majlis graduasi
21hb -Majlis menyambut menantu (isteri paksu ku) di Kelantan
22hb -start kerja balik (kena buat buku untuk kerajaan negeri)
24hb -Program khidmat masyarakat di tanah merah
25hb -sambung kerja....dan seterusnya.

Letih dan penat sememangnya menjadi rutin harian hidup. Kadang-kadang, jadi macam budak-budak sekejap, main-main dan melayan adik-adik pun ok juga, sekurang-kurangnya tidak stress sangat…tambah lagi bos dan staff di ofis ni sangat ceria, dan aku melaksanakan tugasku yang BANYAK itu dengan TENANG…Namun satu sahaja yang aku selalu minta, dalam apa jua keadaan dan perkara, jangan sesekali diri ini melupakan Allah.

Moga Dia yang sentiasa memandu arah hidupku, seiring dan tegar atas jalan dakwah dan Aqidah. Dan aku jangan melupakan title ku sebagai seorang pejuang buat selama-lamanya…Dengan nama Allah, aku hidup, aku peroleh rezeki dan atas rahmatNya juga aku kembali kepadaNya kelak.

*EmanNasuha

Friday, August 10, 2007



Bila sahaja ditimpa mudarat, terlilit masalah dan terbeban dengan kerja yang banyak, terasa diri ingin menangis sepuas-puas dan semahu-mahunya. Namun, apakah yang aku dapat daripada itu?Langsung tidak rasional, emosional dan keanak-anakan, mungkin begitu sahaja telahan ramai orang...namun percayalah, dengan sedikit ruang yang diberikan kepada diri untuk menangis, insyaAllah, sedikit sebanyak, akan terasa bagai paku-paku masalah yang tertusuk jauh ke dalam diri, tertanggal dan tertarik keluar secara perlahan-lahan...hakikatnya, aku suka menghargai diriku dengan menangis. Mungkin itu salah satu daripada penawar hati...siapa tahu,kan? sehingga adikku sering berkata "hok ni gak, jerit sokmo..."


Apa pun, aku bersyukur saat masalah datang mengetuk pintu hari-hariku.Dengan itu, aku lebih ingin bersama Allah, mendekatkan diri kepadaNya dan mengadu sepuasnya pada Dia...Bukankah aku bertuah hidup disayangi TUHAN, melalui ujian-ujian?



Nota Penulis:


Cerita yang tidak pernah habis ialah cerita perjuangan.

Kerana ianya akan sahaja habis, tamat dan selesai bila sahaja, nyawa terluah keluar dari jasad...bila mata terkatup rapat dan mulut diam, kemas membisu. Pada saat itu, kita akan dituntut dengan apa yang kita perjuangkan...dan apakah kita mampu menjadi 'pejuang sebenar 'yang dapat memperjuangkan nasib diri sendiri, amal sendiri dan masa depan sendiri di hadapan Allah Azzawajalla?persoalan yang kita sendiri ada jawabnya...

Monday, July 30, 2007

Forum International Muslim Business Networking 2007

Sekitar Program...INTERNATIONAL MUSLIM BUSINESS NETWORK:MAKING GLOBAL BUSINESS:ENHANCING INNOVATIVE PARTNERSHIPS







Antara AJK Pelaksana dan Penganjur yang terlibat



Dahulu, sering membantu umi berniaga. Membawa jualan ke sekolah, sehingga sarat beg galasku..itu kenangan zaman persekolahan lantaran diri yang masih mentah dengan pelbagai perkara. Sekurang-kurangnya, matapelajaran hisab ku menjadi semakin baik, kerana acap mengira wang dan memulangkan baki kepada pembeli-pembeli kecil (rakan-rakan sekolah...)



Orang melayu malas untuk mengembangkan niaga?
Ini persepsi yang kudengari daripada beberapa pihak setelah kumemulakan kerja di sebuah syarikat konsultansi usahaniaga di kelantan. Sebetulnya di sini, masih banyak yang perlu dipelajari terutamanya yang berkaitan dengan soal bisnes dan pengurusan perniagaan. Nampaknya jurukur bahan sudah bertukar profesyen, tidak kisahlah belalang...
Cerita sekitar program IMB.Net Forum yang berlangsung pada 20-22 julai 2007, selama 3 hari 2 malam berkampung di New Pacific Hotel, Kota Bharu, macam-macam orang yang aku jumpa. Yang menariknya, berpeluang bertemu dengan usahawan daripada pelbagai latar budaya, tempat dan negara. lucu mendengar loghat orang nigeria dan rusia,tapi mereka tetap berani untuk bercakap orang putih...tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya kita belajar daripada kelemahan yang ada.
Hujung minggu ini, lagi program anjuran syarikat ku. Tapi kali ini, ianya dilaksanakan sepenuhnya oleh ku dan beberapa orang trainee..minta-mintalah berjaya.sebab ini adalah penilaian awal untukku sebagai pelatih di syarikat ini. InsyaAllah.

Monday, July 16, 2007

Sebuah diari, sejuta catatan...

Tidak gundah hidup di dunia, jika kau tahu apa yang kau cari...
itu kata2 saidina Umar yang kupinjamkan buat ruangan pena kali ini. Alhamdulillah, hari ke hari, banyak sangat benda baru yang telah kupelajari terutamanya apabila aku kembali ke negeri serambi mekah yang kucintai ini. Tiada kata, selain ketenangan dan kedamaian dalam diri apabila berada dalam biah hasanah seperti yang kurasa saat ini.

Banyak juga pengalaman menghadiri temuduga, sekurang-kurangnya dapat melihat dan menilai rona akhlak masyarakat zaman kini dan kompetensi yang seharusnya ada pada diri. Akhirnya, kutinggalkan seketika dunia pembinaan yang menjanjikan peluang kerjaya yang hebat dan wang bernot merah hijau yang banyak itu kerana jiwaku ke arah bidang kependidikan.Itu cita-citaku yang asal, menjadi mu'allim yang berjaya mendidik anak2 ISLAM. Namun, hakikatnya segala-galanya menjanjikan hikmah daripada Allah. Insya allah, jika tidak pada masa ini, pada suatu masa nanti...

ketahuilah juga, hidup kita bukan berpaksikan wang, tetapi wang menjadi paksi untuk meneruskan survival kehidupan...telah kupasakkan dalam diri bahawa, jangan aku berpaling daripada jalan Allah hanya kerana tuntutan dan desakan kehidupan yang menghimpitku saban masa...kerana mehnah perjuangan ini bukanlah senang, itu fakta yang tidak mampu kutepis buat sekian kalinya.

Justeru, aku meyakini bahawa rezekiku ada di sini, di jalan Allah ini, bahkan pada setiap ketika diberikanNya rezeki pada sumber yang tiada disangka2. Benarlah firmanNya:

Nikmat Tuhanmu yang manakah (wahai jin dan manusia) hendak kamu dustakan?
(Ar Rahman)

Tidak ada suatu rahmat pun wahai Tuhanku hendak aku dustakan, malah hanya dengan rahmatMu sahajalah aku berlindung dan berharap. Syukur padaMu, Allah...

Sunday, June 17, 2007

TAFSIRAN JIWA


Semalaman, menilai dan melihat sedalam-dalamnya ke dalam diri.
Oh, aku tersedar akan banyak perkara...lantas mentafsir semula erti pengorbanan dan nilaian sebuah kasih sayang yang sepatutnya lebih kuberikan pada Al Khaliq...Ya Allah, inilah insan. Sering terlupa dan melupakan...mungkin juga diri ini sudah jauh daripada DIA, justeru tiada ketenangan yang datang menjenguk untuk berteman mesra...

Dan, aku perlu lebih untuk menjadi setabah mungkin, bersedia menghadapi apa jua kemungkinan dalam kehidupan ini sama ada yang baik atau buruk. hujan sudah mahu turun tapi payungku di mana?



Telah diberikanNya...hati

Salam Penuh Kasih Sayang Buat semua,

Aku disayangi semua orang, alhamdulillah. Ada ibu bapa yang menyayangi, adik-adik yang kasih padaku, ada sahabat-sahabat di sisi…apa lagi yang kucari?

Engkau tidak bersyukurkah dengan apa yang telah Allah beri, wahai diri

Tidak Ar Rahman, aku sangat-sangat bersyukur sangat2 bersyukur,
Malah aku takut menjadi orang yang kufur…nauzubillah.
namun aku masih berasa belum cukup akan nikmat kasih sayang itu tanpa kasih sayang daripada Mu biarpun aku dicintai dan dikasihi manusia. Sungguh…

Di MANA harus kucarinya?pada siapa harus kuminta selain diriMu jua…

Sunyi hidupku tanpa petunjukMu
Aku ketawa, aku menangis, aku bersedih, namun
Jangan biarku lupa akanMu walau sesaat Ar Rahim…
Walau susah atau senangnya aku
Walau suka atau gembiranya aku
Temukan aku dengan Cinta Mu
PadaMu aku merindu…
Tiada lain yang jadi rayuan, selainMu…aku berhutang syukur Allah

Wednesday, May 02, 2007

Secerah Bintang





Sebak seakan mengisi keseluruhan atmosfera rasa.
Bungkam yang tiada bernyawa.

Entah permainan apakah ini?hati libang libur dan digugah rasa kesedihan yang begitu sarat.

Segalanya serba tidak kena.Aku berpedang dengan perasaan sendiri, hampir begitu lama kurasakan. Sejak beberapa ketika, aku terasa kehilangan yang metah amat...Apa yang kucari?

Kusering menyatakan kepada seorang teman, ingin menjadi sebagaimana bintang. Bersinar dan berkelip sepanjang masa, menyinari maya pada tanpa imbalan, malah dirasai kehilangannya andainya suatu masa kerdipannya sirna...namun mungkin juga, tiada layaknya aku secerah kejora di langit kerana aku adalah insan yang tersarat sejuta kelemahan.

Tesisku masih di ambang ketidakpastian, bila penyudahnya yang akhir. Moga Allah menunjukiku jalan, kesenangan dan kemudahan. TanpaMu, aku tidak mampu menyudahkan hatta sepatah katapun,Tuhanku...Hanya Engkaulah sebagai wakilku dalam setiap keadaan dan masa. Permudahkanlah.

Bagaikan mimpi dan tidak percaya, ini adalah semesterku yang terakhir, insyaAllah. Sudah empat tahun, berumah di sini dan pastilah segala-galanya akan kurindui nanti. Sahabat-sahabat yang sama-sama menggalas batu permasalahan, bergaduh-merajuk hampir seketika, keanak-anakannya aku ketika itu,biarlah semuanya mewangi di taman ukhwah fillah...

Setiap masa, wajah-wajah kesayangan menerpa di skrin memori.Aku menggalas harapan hampir setiap orang. Ya Allah, kuserahkan segalanya padaMu. Takdirku hanya dalam genggamanMu

Aku mohon untuk tidak menangis lagi. Biarkan segenggam tabah itu menghuni di hati ini.
Istajibillahum ma du'a...











Monday, April 30, 2007


Terkaku seketika di hadapan skrin komputer...
Apa ye tajuk yang ingin dibawa kali ini?Alhamdulillah. Syukur sangat sebab final exam dah habis, tapi tesis je yang masih belum2 setel.Nak jumpa penyelia, editing, jilid...dua hari lagi umi, baba dan adik2 datang.Sudah hampir empat bulan lebih tidak berjumpa mereka.Alhamdulillah, moga selamat sampai nanti.

Rata-rata orang bercerita tentang ijok. Lama tidak lamanya tidak bergelumang dengan massa, surat khabar dibelek jarang-jarang,TV langsung tidak ditatap sekian lama, sampai ketikanya kawanku terkejut dengan pertanyaanku "ijok di sabah atau sarawak?"

Bebanan tesis menjadikan aku terhibernasi tanpa syarat.Sehinggakan semudah ijok di Selangor gagal kuketahui. Di mana2 sahaja, ingatanku pada tesis, tesis, tesis.Sudah tiada rasa dan perasaan untuk balik ke kampung. No feeling at all! Benarlah kata Saidina Ali r.a bahawasanya apabila hati itu disekat kemahuannya untuk menunaikan sesuatu hajat, maka ia akan akhirnya, mati!

Pernah ku terasa ingin sahaja balik ke kampung, meninggalkan segala-gala yang ada di sini, namun itu adalah tindakan orang yang meletakkan emosinya di hadapan sedangkan yang dituntut oleh agama adalah mendahulukan Allah dalam setiap perbuatan. Dan itu juga namanya seakan orang yang berputus asa, bukankah Allah memurkai mereka2 yang berputus asa dengan rahmatNya?bahkan ianya termasuk dalam dosa besar.Nauzubillah, jauhilah diriku daripada digolongkan dengan golongan tersebut.

Mahu tidak mahu, kehidupan perlu diteruskan...Terpercik kembali semangat ke dalam diri tatkala dihujani kata-kata azimat dan semangat daripada sahabat sahabiah, keluarga dan tidak lupa juga penasihat akademikku"saya doakan kamu berjaya sebagai seorang profesional dan sebagai seorang insan"

Dan kini semester telahpun tamat, hanya menanti waktu2 untuk kutinggalkan segala kenangan di bumi kampus yang kusayangi ini. Akhirnya...segala natijah, usaha dan ikhtiarku kuserahkan sepenuhnya hanya kepadaMu TUHANku...Moga ada yang terindah di sebalik kejadianNya.

wallahua'lam

Saturday, March 31, 2007



“Setitis dakwat orang berilmu, lebih tinggi nilainya
dari titisan darah para syuhada…”


Ilmu yang bermanfaat itu ialah apabila semakin kita mendalaminya semakin tersemai sifat taqwa dalam diri dan semakin kita takut kepada Allah. Dengan itu, akan secara langsungnya terbina sifat-sifat mahmudah dalam diri beserta akhlak yang mulia. Inilah yang dikatakan sebagai ‘ilman nafi’an.

Justeru, apalah yang ingin kita hairankan jika melihat orang cerdik pandai pada hari ini metah melakukan kefasadan dan kecurangan ubudiyyah kepada Allah swt. Mereka atau mungkin sahaja kita sendiri begitu sibuk disibukkan dengan kesibukan dunia yang sememangnya sibuk ini.

Malah janganlah berasa pelik mendapati mungkin sahaja hampir keseluruhan daripada golongan ini yang secara terang-terangan melakukan kemaksiatan dan kebathilan. Kondisi ini bukan sahaja menghancurleburkan kedudukan mulia orang yang berilmu di sisi Allah malah akan sekaligus meranapkan seluruh kemuliaan martabat dan nilaian keilmuan yang dimiliki.

Kenikmatan dunia ini adalah bak pelangi yang indah penuh warnanya namun dusta di pandangan mata, kerana hanya sekejap sahaja datangnya selepas gerimis, akan hilang jua apabila mentari datang menjenguk…justeru, alangkah rugi dan tertipunya bagi mereka yang mengejar ilmu untuk melengkapkan nafsu keduniaannya semata-mata.

Bermutlakkan niat untuk memperoleh kesenangan di dunia dan kemewahan hidup. Niatnya untuk mengejar kelas kepujian dan dekan untuk mendapatkan pekerjaan yang baik pada masa hadapan, justeru tidak mengapa jika mengabaikan solat kerana menyiapkan tugasan atau projek, tidak mengapa tidak solat berjemaah kerana mengulangkaji untuk ujian, tidak mengapa dan tidak mengapa…maka menjadilah mereka orang yang berpegang dengan pendapat yang direkanya sendiri. Menghalalkan cara yang bercanggah dengan matlamat syariat…

Sangat-sangat menyedihkan tatkala mengenangkan pengorbanan yang telah diberikan untut mendapatkan ilmu.Mereka bergolok gadai masa, harta dan seluruh kehidupan untuk menuntut ilmu, terbang ke negara orang. mencari gali permata-permata ilmu di tanah asing Barat, sehingga kadang kala sudah mula melupai bahasa dan bangsa sendiri.

Malah, kehidupannya sudah sedikit sebanyak diacuankan dengan corak kehidupan sang Barat sehingga kembang kempis hidungnya apabila mampu bercakap bahasa asing di hadapan anak bangsanya. Setiap ketikanya diluahkan rasa bangga kepada bangsa kuffar sehingga Islam sudah terlucut dari hati dan mindanya. ISLAM bukan lagi yang paling tertinggi mengatasi yang lain…

Jarang untuk melihat si cerdik pandai yang berilmukan orientasi luar negara ini pulangnya ke tanah air mengenggam kalamullah. Malah disindir-sindir orang yang nampaknya sedikit berperwatakan Islamic. Dipandang jelik mereka yang berpakaian menutup aurat, bukan sebagaimana mereka yang sering mengikuti fesyen semasa, cukuplah sekadar tudungnya di atas paras dada, Bertudung pun sudah dikira alim.

Sebab itu, ada sesetengah pendapat orang yang jahil al-murakkab ini meletakkan nilai sopan itu adalah pakaian yang bertutup, yakni tidak terdedah walaupun ketatnya sehingga mungkin boleh berganjak tulang pelvis dan tersekat aliran udara di abdomen. Segunung simpati untuk mereka yang begini.

Sebenarnya, untuk apakah ilmu itu dituntut? Hadith mengatakan bahawa jika kamu menginginkan dunia, hendaklah dengan ilmu, jika kamu inginkan akhirat maka hendaklah dengan ilmu dan jika kamu ingin kedua-duanya (dunia dan akhirat) maka hendaklah juga dengan ilmu.

Jelas kepentingan ilmu itu sendiri adalah sebagai pelengkap kehidupan kita di dunia dan di akhirat. Ilmu sebagai pakaian kita sebagai seorang khalifah yang ditaklifkan oleh Allah untuk memakmurkan bumi ini dengan namaNya. Dan, jangan melupai akhirat tatkala ilmu itu dituntut. Ilmu adalah sebagai bekalan kita ke akhirat.

Dengan ilmu, kita mengenal Alllah, meyakini dzat-dzatNya dan sepatutnya menjadi insan al mutaqqien yang penuh rasa khauf dan raja’ padaNya. Akal dan panca indera kita adalah terhad untuk sampai kepada Allah secara terus umpama makam nabi dan rasul.

Ilmu juga menjadikan ibadat kita diterima Allah kerana kita tahu membezakan setiap hukum dan syariat. Ilmu itu dituntut untuk mendepani cabaran hidup di duinia, tuntutan dan keperluan alam keluarga dan kerjaya, cukuplah memenuhinya dengan syarat kita tidak hidup melarat, miskin dan meminta-minta kepada orang. Dengan ilmu, kita akan lebih mengetahui yang mana hak dan yang mana bathilnya. Tidaklah kita mencampuradukkan segala yang haram, halal dan syubhat.

Sepatah kata sebagai kesimpulan daripada penulis, tuntutlah ilmu selama mana belum sampai lima perkara yang dipesan oleh junjungan besar Rasulullah iaitu sewaktu sihat sebelum sakit, sewaktu lapang sebelum sempit, sewaktu muda sebelum tua, sewaktu kaya sebelum datangnya miskin dan sewaktu hidup sebelum datangnya mati. Jika sesudah berlakunya kelima-lima perkara tersebut, pastilah sukar untuk kita memenuhi tuntutan ilmu itu. Sehingga itu dahulu, wallahua’lam..


Nota penulis:

Kita masihkah ingin terusan menjadi tin kosong yang kuat bunyinya namun lompang isinya? Tepuk dada, tanyalah iman yang ada…

Nota Rindu 1

“Kenapa tak balik?”
Laju sahaja ayat yang terpacul dari mulut adikku tika aku menelefon ke rumah tempoh hari.“Sibuklah, tak sempat nak balik.” Suara sudah berubah getaran, sebagaimana biasa emosi seorang aku yang bergelar muslimat. Antara ingin bersuara dan menahan tangis di hujung talian.” Ruginya jadi orang sibuk ni”sambungnya lagi.
Mujur duit yang hampir kehabisan bagaikan menyelamatkan keadaan. Kalau tidak, lakonanku tidak akan menjadi lagi. Berlakon untuk berpura-pura natural dan gembira di sini sedangkan hati meronta-ronta…libang libur, rindu mahu berjumpa keluarga ini tidak pernah padam dari hari ke hari…

Bukan ada yang istimewanya di rumahku itu. Biasa-biasa sahaja. Tapi yang paling istimewanya adalah penghuninya. Penghuninya adalah insan-insan yang kusayang dan beraja di segenap jiwa.
Bagaimanalah nantinya jika aku benar-benar terpaksa berjauhan dengan mereka pada suatu masa kelak? Sebenarnya mereka sering melemparkan rungutan setiap kali aku pulang bercuti hanya dalam tempoh yang singkat, terutamanya umi.

“Cuti pun bukan ada lama kat rumah, asyik pergi program je. Kalau dah pergi tu, tak ingat dah pada umi” Begitulah setiap kali umi mempsikologikan aku. Namun selepas beberapa kali memujuk, dia pasti akan mengalah malah akan menjadi penyokong kuat ku untuk ku berhujah pula dengan baba dan memohon dana simpati. Umi, terima kasih atas segala pengorbananmu. Umi banyak menyokongku walau yang lain membantah.

“Baba tengok kak ni asyik sibuk ke sana sini je waktu cuti pun. Baik lah duduk di rumah…lepas grad ni, baba nak kalau boleh kak belajar memasak, menjahit…” baba ku pula adalah seorang idealis yang berjiwa kebapaan. Apabila dia memprotes tindakanku, dia akan diam tanpa memberikan apa jua jawapan atau akhirnya dia akan berkata “ikutlah…”Apa yang sering dibangkitkanya adalah keselamatanku tanpa ditemani muhrim maka tindakanku adalah mengusulkan beberapa nama (adikku atau kawan2) untuk dijadikan teman. Kena pandai guna strategi dengan ayah ku ini…

Dan paling aku ingati adalah adik-adikku. Aku ada lapan adik di bawahku. Apabila sahaja aku balik, semuanya akan berkerumun dan bercerita dan meminta macam-macam denganku. “kak, ajar kerja sekolah, kak buat air, kak nak nasi, kak teman pergi toilet, kak, jom main Ps2, kak, cari baju, kak nak duit…”
Kenangan bersama menjadi penawar rinduku pada mereka. Adik-adik adalah racun dan penawar buatku…lapan orang bererti lapan fiil dan masing-masing berkumpulan.
Kumpulan yang suka study dan tidak menghiraukan hiburan, kumpulan happy go lucky sampai malas buka buku pun ada dan kumpulan individualistic yang tidak mengendahkan orang sekeliling pun ada…aku sebagai liason, kena masuk ke setiap kumpulan dan menjadi pendengar kepada setiap masalah yang berlaku.


Sehingga saat aku menaip ini, aku tersenyum-senyum sendiri mengenangkan jenaka dan keletah mereka. Mereka sering menyindirku “tak menjadi pun nak buat bekeng (garang)”, dan selalunya mereka akan ketawa-ketawa walaupun mengaduh juga apabila lidi jalin dan rotan hinggap di belakang mereka.
Lidi jalin adalah beberapa batang lidi yang dijalin sendiri oleh baba dan umi. Baba kata dia menjalin lidi dengan bacaan bismillah, buat memukul syaitan yang ada pada diri anak-anak…moga-moga menjadilah. Kata-kata itu juga yang kugunakan untuk memujuk adik-adik selepas memukul mereka. Kalaulah mereka tahu, betapa sedihnya untuk memukul mereka dan melihat mereka menangis… Adik-adik masih mentah untuk mengetahui hakikat kehidupan ini. Pada saat iman dan agama mula digadaikan manusia untuk dunia, janganlah adik-adikku tergolong dalam golongan alfasikun dan almunafikun yang dilaknat Allah kerana kejahilan mereka..nauzubillah.

Hidupku untuk Allah. Maka apa jua yang menuju ke arahNya, aku akan redha walaupun terpaksa menanggung segunung rindu untuk mereka yang tersayang…terpaksa menahan gelodak keinginan untuk pulang ke rumah, terpaksa menahan apa jua kehendak dan tuntutan kerana natijah berkorban kerana Allah pastinya tidak akan pernah menjadi penyesalan di kemudiannya.
InsyaAllah.


Friday, March 30, 2007

SALAM GRADUASI
UNTUK SEMUA SAHABAT SAHABIAH
JANGAN PERNAH MELUPAKAN KEDUDUKANMU SEBAGAI SEORANG PEJUANG
WALAU DI MANA JUA KALIAN BERADA
INGATLAH,
NILAIAN TAQWA DAN IMAN LEBIH BERNILAI DARIPADA
SEGALA-GALANYA

SEMOGA BERJAYA...

Monday, March 12, 2007

HARAPAN TIDAK BUTA

Berjalan di jalan yang terang
Agar tiada jatuh tersungkur di persimpangan…
Perhati, tika di jalanan
Bimbang datang ujian menduga keimanan…

Ya. Bimbang itu acap kali menjenguk lewat hari-hariku…banyak yang dibimbangkan. Berbagai-bagai. Bermacam-macam. Berkali-kali.

Kugelar diriku sendiri sebagai lalang. Meliang lintuk ke kiri, kanan, tengah dan bawah mengikut arah angin yang berhembus. Tidak mahu kutinggalkan segala-galanya walau gagal kukendong semuanya.

Segalanya akan tamat jua. Tiap yang susah, yang perit, yang sedih, yang kecewa dan yang pahit, akhirnya akan sirna. Cuma sabar dan tabah sahaja yang perlu menjadi pakaian diri.

Aku sering membicarakan ketenangan dan kedamaian dengan seorang kawan ilmu tsalafi. Namun, dia juga akan membandingkan diriku yang katanya jauh lebih bertuah daripadanya. Dapat belajar ilmu universiti, berpeluang belajar ilmu pondok pula. Dan setiap kali itu, dia akan merendah diri, berasa inferior denganku...walau apa pun, aku tetap berasakan engkau jauh lebih bertuah, sahabat. Dapat belajar ilmu kalam. Ilmu mengenal Allah.

Di mana-mana pun, kita akan diuji. Di universiti ini, peluang untuk iman dan amal itu terhakis jauh lebih besar sedangkan di pondok, ada ustaz-ustaz yang menjadi wasilah tarbiyah kita. Itulah juga antara sebab engkau bertuah…

Walau apa pun, bagiku harapan tidak pernah menjadi buta Cuma ianya dibutakan sendiri oleh kita. Kita yang membutakan jalan untuk harapan itu dipenuhi. Mengharap kepada cinta ilahi, namun malas untuk beramal, mengharap diredhai Allah, namun saban hari bergelumang noda dan maksiat…mengharap kejayaan dan kecemerlangan namun masih tidak melakukan islah dan perubahan…jadi bagaimana?ya, harapan tidak buta. Cuma kitalah yang ‘tidak dapat melihat’.

Wallahua’lam.
Serious, And No Jokes!

Again.Above is the statement that always come out from my Value Management’s Lecturer, Surveyor Associates Professor Dr. Mazlan. We seem to be in overseas when staying at his class. Really impressing and fluency in English. Sometimes, im really proud to have such a good muslim lecturer that able to communicate very well in this international language. I always ogling the non-muslim in my class, just want to see their reaction, they are definitely adore that nice lecturer when the words uttered from him.Very good impressions to Islam, that’s the most vital in any way…

The necessity or the Demand?

Serious and no jokes.Some of us still have a big fear in communicating in English. I just want to put a little comment on this issue. Why? because we are coming from the totally malay school that learned English subjects just for one examination’s paper or because we are brought up from different family, different area especially the rural area that have no broadcasting line or what? I am also not very good in English, I am also come from a village, I am also come from the malay family that use malay as our mother tongue but I demand to learn this necessity…because I know that to the world nowadays, we are no one if we are lack of everything, either the language, the skills or any other things that is needed…Serious and no jokes.

Eliminate your fear factor

I love to speak but I am scared of myself. So, I enrolled for a business communication class and try to push myself to speak. It happened after my SPM long breaks Its better than previous. But to sharpen it, of course we need time. Really much time. Praise and Compliment to Allah, He put me in this course, although I felt very unsatisfied, becoming one of the professional in construction field is not an easy way. We need to present and learn in English, by hook or by crook, at least my English can be saved from rusting badly.

The strong desire is very important to identify what you will be in a future, believe it or not?believe it! Why I say like this? I have been humiliated and challenged by my English teacher. She throw my book in front of the class, and as usual my tears begin dropped. From that time, I started to instill in myself that I need to get A for her paper. So, I prove to her during my last time at school. Serious and no jokes.

I eliminate my fear in speaking English by practicing to speak in front of mirror. I got the best English debator during my business communication class and I becoming the only malay interviewer during my English session class in university.

I got all that by practice and practice. Thanks mirror for being accompanied me. I jot down at least five new words in daily to bright up my vocabulary.All this is happened for a past year… now I realized that I need to go through this continuously again and again or I will forget about my English…yes, serious and no jokes.

Wednesday, February 21, 2007

Apabila ketentuan dari langit turun
Dan doa dari bumi naik
Ia akan bertembung di tengah-tengah
Dan berlawan siapa yang lebih kuat...
Jika Doa lebih kuat, ketentuan ajal pun boleh tertunda
Pada mukmin itu, kekuatannya adalah
pada doanya...
...amalnya.
keikhlasan ibadahnya...
dan,
kekuatan silaturrahimnya...

My beloved,
Menteri Besar kelantan
(Moga sentiasa dirahmati Allah, tok guru ku)

Monday, February 05, 2007

Harga Setitis Air Mata




“Semua masalah tidak boleh selesai hanya dengan menangis…”

Begitulah kata-kata seorang sahabatku. Pastinya. Namun pendapatku jika hanya dengan menangis, boleh sedikit sebanyak mengurangkan rasa tekanan dan keserabutan, maka saya nasihatkan anda semua supaya menangis. Sesungguhnya menangis itu bukan sahaja dapat menghuraikan tali kekusutan di hati tapi dapat melegakan perasaan yang berkecamuk sebab segala-galanya akan sirna melalui aliran air mata yang mengalir keluar. Kalau tak percaya atau susah nak percaya, cubalah…

Semasa ku belajar matapelajaran biologi dahulu.(rindu pada zaman sekolah).Belajar pasal mata dan bagaimana kelenjar yang ada pada mata ini mempunyai keupayaan untuk merembeskan cecair yang dipanggil air mata. Kelenjar ini dipanggil kelenjar lakrimal. Cikgu bio ku pernah berkata andainya cecair yang ada pada kelenjar itu kekurangan atau tidak dapat dirembeskan lagi, maka air mata juga tidak dapat dihasilkan lagi. Boleh sahabat-sahabat bayangkan bagaimana saat sedih atau berkecewanya kita namun tidak dapat menangis…sewaktu itu, pasti kita akan berasa kehilangan sebuah nikmat yang dikurniakan Allah SWT. Nikmat untuk menangis.Memang benarlah segala sesuatu itu akan menjadi lebih berharga jika kehadirannya tidak dinikmati lagi…





Anak bongsu manja dan suka menangis?

Jawapan yang ada pada persoalan ini ialah ya dan tidak. Jika anda adalah anak bongsu, anda pasti akan membela diri dan berkata tidak. Dan jika anda anak ketiga seperti saya, jawapannya pasti juga tidak. Sebab saya bukan anak bongsu tapi mempunyai hobi menangis(pada waktu dan ketika yang sesuai). Entah bagaimana penyakit menangis ni hinggap pada diri,maksud saya mudah untuk menangis, minta-minta bukan kerana kelenjar lakrimal uncontrolled atau clogged.

Umiku pernah memberitahu anak-anaknya tentang pemilihan jodoh. Kalau nak mencari pasangan, elakkan memilih anak bongsu atau anak sulung sebab anak bongsu dimanja-manjakan, anak sulung diperajai(dilayan umpama raja). Saya tidak pasti sejauh mana, namun yang pasti pemilihan pasangan kita kerana yang pertama pastilah agamanya tidak kisahlah dia anak yang ke berapa pun.setuju?

Kalau tengok adikku yang bongsu sendiripun, bukan dia yang akan menangis apatah lagi bersifat manja, sebaliknya dialah yang membuatkan abang-abangnya menangis, hatta kakak yang lebih besar daripadanya pun. Cuma dia akan menangis apabila benar-benar sakit sahaja;sebagai contoh ditabuh umi.orang kelantan sebut babil (baca dengan loghat yang betul). Ingat sekali kasihan juga, tetapi itulah tarbiyah jasadiah…

Menangislah untuk kembali ceria

Istilah untuk orang yang manja dan mudah menangis ini dalam bahasa kelantannya ialah lenjo atau manja kededek atau kalau perempuan sering digelar mek dene tapi kalau lelaki, tidak pula kuketahui awe…? Unik kan. Tapi bukan istilah yang ingin dibicarakan sebenarnya. Mungkin seseorang pada masa hadapan boleh mencadangkan satu kajian empirical tentang salah satu kaedah untuk mengurangkan stress melalui cara menangis. Manalah tahu pengaplikasian yang sedang dan pernah kulakukan selama ini terbukti sebagai kesan yang benar-benar berhasil.

Menangislah untuk merawat luka, menangislah untuk kembali ceria dan menangislah untuk membasuh dosa-dosa… dan ubat yang paling mustajab untuk mengubati hati dan kelukaan adalah menangis sewaktu munajat kita bersama Allah. Tumpahkan air mata mu keranaNya. Itu akan menjadi amal pahala pada diri kelak kerana mata yang tidak disentuh api neraka itu ialah mata yang menangis kerana TUHAN…

Kata pujangga:

ketenangan itu milik hati-hati yang beriman, agar bertambah benih hikmah dalam setiap perlakuan, orang yang banyak menderita, jiwanya akan perkasa dan apabila ditimpa kesusahan akan selalu ingat TUHAN.Bertuahlah apabila iman diuji kerana jiwa sabar dan tabah menghadapi, pasti ada kemenangan yang menanti.

Sepanjang Usia.

Salam


Sudah dua minggu beranjak usiaku yang baru. 23 tahun kehidupan bukanlah suatu masa yang singkat kerana dalamnya pasti terkandung pelbagai memori, peristiwa, kenangan dan pengalaman. Sudah 23 tahun rupanya…

23 tahun yang lampau
Semakin dewasanya aku, semakin kutahu menilai erti kesusahan. Susah untuk memenuhi kehendak hati, susah untuk mendapat semua yang diingini. Susah sebenarnya. Baru kutahu susah…

Apabila teringat zaman lampau, banyak perkara yang dapat dimuhasabahkan dan dikoreksi. Aku anak yang sering dipenuhi impiannya, umi dan baba ku sudah sedia maklum tentang ini dan setelah jauh daripada keluarga kini, aku belajar untuk membuat segala-galanya sendiri. Mahu atau tidak, kena belajar untuk berdiri sendiri, susah atau senang, rajin atau malas, suka atau tidak…

Seorang teman pernah menguntaikan sebuah analogi yang cukup padat kesan tempaisnya padaku. Ya. Ibarat aku yang sedang memegang hulu parang. Hendak ditebas apa dan bagaimana, segala-galanya ada padaku…begitulah juga untuk kutentukan masa depan dan destinasi kehidupanku nanti.

Kisah kasut baru

Sebagaimana biasa, sepatah yang ditanya sepatah yang dijawab. Apa tandanya tu?umi sudah maklum akan perangaiku. Pastinya ada yang tidak kena, mungkin berkelahi dengan sesiapa (terutamanya abangku yang otai.(P/S: Maaf abang Mat kerana meminjam nama untuk blog ni). Teringat cerita zaman lampau semakin ku menghargai kasih seorang ibu. Setelah diselidik, barulah diketahui akan cerita sebenarnya. Patutlah masam sahaja, hajat hendak membeli kasut baru tidak tercapai rupanya. Kasutku yang lama sudah koyak, kebetulan masa tu musim hujan, habis basah stokin…

Aku menulis di meja. Study untuk mengubat hati yang lara kerana tidak dapat membeli kasut baru. Semua orang disekeliling tidak kulayan. Tiba-tiba kuterpandang sebuah kotak di bawah meja study..tidak pula berbungkus. Koatak apa ni? Terkejut melihat isi di dalamnya. Kasut spark yang baru! Akhirnya, persoalan tentang kotak itu terjawab apabila kuteliti sedikit nota yang tertulis padanya.Saspennya...

Buat kak tersayang,
Sesungguhnya tidak beriman seorang itu selagi tidak diuji.
Moga sentiasa dirahmati Allah. Kadang-kadang tidak semua impian kita akan dapat dipenuhi,belajarlah untuk bersabar dan bersyukur…

Daripada;
Ummi


Begitulah antara kata-kata yang ditulis oleh ibuku. Antara yang kuingat dan lupa. Aku menerima pemberian itu dengan mata yang berkaca-kaca. Tahulah bahawa kasut itu adalah pemberian daripada umi. Umi, maafkanlah anakmu yang banyak fiilnya ini…insya Allah. Kini aku cuba untuk belajar untuk susah, bersabar dan bersyukur…

Sehingga kini, aku masih terasa diri ini sebagai anak yang tidak banyak menyumbang kepada keluarga, malah keluarga yang banyak menanggung susah keranaku. Yelah. Mahu itu ini, begitu begini.

Adikku yang kini berada di UPSI(pendidikan moral) seringkali mengatakan bahawa aku perlu bersyukur kerana disayangi oleh semua orang, malah kadangakala dia bercemburu dengan kasih sayang seperti itu. Ya. Alhmadulillah. Aku bersyukur sebenarnya. Bersyukur sangat. Moga kasih sayang inilah yang akan membawa kita semua ke syurga. InsyaAllah.

Dulu, kini dan selamanya…

Hatta kini aku bukanlah si anak kecil yang terlalu banyak onar dan fiilnya, namun kadang kala pasti tidak terlepas dengan sifat-sifat dan tabiat lama. Insyallah, kucuba melakukan hijrah dan islah.

Iman, akhlak dan amal. Biar ketiga-tiganya sentiasa meningkat danistiqamah…keran mungkin 1-2 tahun lagi semakin banyak gelaran yang akan kusandang, selain sebagai anak kepada umi dan baba, kakak kepada 8 orang adik2 namun yang pasti tetap sebagai hambaNya.

Kata saidina Umar Al Khattab…Takkan gundah hidup di dunia, jika kau tahu apa yang di cari. Justeru apa yang kita cari sebenarnya?harta?setinggi gunung manakah hendak dicari dan dikumpulkan harta?pangkat?selama mana pangkat mampu bertahan, kerana suatu masa akan tiba zaman kejatuhan…jadi apa yang kucari dalam tempoh 23 tahun yang ada sekarang ini?

Cinta, Redha.keampunan. Inilah yang kucari sebenarnya. Cinta pencipta yang menciptakan insan, dan cinta insan yang mencintai Penciptanya….dan redha…Biarlah Allah meredhai kehidupanku dan aku meredhakan ketentuan dan takdr yang ditentukanNya untukku. Dan biarlah dulu, kini dan selamanya, kita semua dinaungi rahmat dan keampunan daripada Nya.

Buat diri;
Selamat Berusia 23 tahun. Moga Sentiasa berjuang untuk ISLAM
Wallahua’lam.

Dan sesungguhnya Aku banyak mengampunkan orang yang taubat, beriman dan beramal salih kemudian dia melakukan kebaikan.”

(Taha:82)

Monday, January 08, 2007

Salam penuh berkat. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang tercinta dan para sahabat, para tabi’in dan anbiya’ yang telah menumpahkan titisan darah dan keringat mereka semata-mata untuk menegakkan kalimatulHaq di atas muka bumi ini. Alhamdulillah. Hari ini, rongga nafasku masih lancar dilalui oksigen, mata masih mampu dikatup buka dan gerak langkah masih kuat untuk menapak ke sana sini. Segala puji buatmu Allah.

Semester terakhirku di UTM, insyaAllah. Hatiku masih di kelantan, mungkin,. Homesick?sudah hampir 4 tahun di kampus, tetapi masih ‘sakit pada rumah’?.Entahlah belalang…
Kelas pada pagi ini tiada. Kesempatan yang ada ini, kugunakan untuk menjenguk weblogku yang dah lama bersawang ni.

Syukran buat sahabat2 yang sudi melawat weblogku. Pesanan di chat box, tak dapat kubalas selalu.entahlah, kadang2 server down je kat pusat maklumat bangunan fakulti ni…apa yang nak dikongsikan pada kali ini ye?ok. satu kata2 orang putih. Sebenarnya, bukan nak membanggakan ayat2 mat saleh ni pun, sekadar perkongsian. Moga ada yang baik daripadanya.

What u give u get back…ni ayat2 yang biasa kita dengar. Nak relate dengan kehidupan kita sendiri. Apa yang kita beri, kita akan dapat balik..contohnya pengorbanan dalam perjuangan, maksudnya kita akan terkorban atau dikorbankah?tidaklah begitu. Dalam surah As Saff sendiri, Allah telah banyak memberikan khabar gembira untuk orang-orang yang sanggup berkorban ini dengan syurga Adn, dan keampunan untuk dosa2nya…dan percayalah setiap balasan yang kita berikan untuk ISLAM pasti tidak akan mengecewakan kita kelak. Apa yang paling penting, pemberian kembali yang diterima adalah Halawatul Iman iaitu kemanisan iman yang dapat memberikan sejuta ketenangan yang tidak ternilai dengan wang hatta segunung emas permata pun.

Semoga kita semua sentiasa berada di bawah naungan rahmat dan kasih SayangNya.
Salam buat semua. Moga diberkati.

Salam Ziarah; Buat Semua Mahasiswa ISLAM

Salam Ziarah;

Seketika di hadapan skrin komputer, pusat bangunan fakulti alam bina, mencari ilham buat tatapan semua, moga-moga sepicing nasihat yang lahir dari terjahan idea dan pandangan yang pastinya serba kekurangan dan kedhoifan ini mampu menggerakan batang tubuh dan akal fikir yang lesu supaya bangkit semula berfikir, mentafsir dan bermuhasabah…epistimologi seorang insan: khilaf, cuai, lalai dan penuh kelekaan…

Usah bicara soal intelek, jika akhlak masih dipertikaikan orang

Kenapa saya berkata begini? Suatu fakta yang sahih tanpa boleh diubah dan dipinda. Antara etika dan adab. Seorang professional yang pastinya berintelektual adalah pastinya beretika apabila dapat memakai tuksedo ke majlis makan malam hotel 5 bintang, namun dia tidak semestinya seorang yang beradab apabila dia memarahi dengan kata-kata kesat seorang pelayan yang tidak sengaja menumpahkan kopi di sut tuksedonya yang mahal itu…berintelektual dan berakhlak? Dua kolaborasi yang hampir sukar untuk ditemui pada zaman langit terbuka, aurat terdedah dan agama dicela ini…kerana seseorang yang berintelek tidak semestinya seorang yang berakhlak, tetapi seorang yang berakhlak mulia pastinya dilihat dan disignifikasikan masyarakat sebagai berintelek dari sudut rohaninya. Bijak pandai mengurus akal fikiran yang berkesimbangan dengan kehendak agama dan rohani. Sebagaimana para ulama’dan ustaz2 di institusi pengajian pondok, tidak pernah menimba ilmu pembinaan, ilmu sc, ilmu kimia, ilmu kejuruteraan tetapi akhlak yang cukup segar dengan warna2 yang terbentuk melalui Al Quran dan AsSunnah. Melihat kepada fenomena ini, tiba-tiba terbersit di jiwa saya tentang betapa dangkalnya kita sebagai golongan yang berintelek sekiranya akhlak kita masih lemah, punah dan berantakan. Alangkah rugi, malu dan penuh kesesalan.

Mahasiswa Universiti sudah jatuh saham?

Mengapa tiba2 dipersoalkan tentang harga dan nilai seorang mahasiswa universiti? Bukanlah bermaksud seperti saham niaga di BSKL, yang asyik2 naik dan kemudian merudum…Melihat kepada sejarah lampau, era 70-an,80-an cukup membangkitkan gelombang yang gah buat mahasiswa kerana pada waktu itu tidak ramai yang mampu ke menara gading. Kalau pun ada, yang terpaksa bergolok gadai tanah, emas dan lembu-kerbau untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Kemiskinan dan sistem pendidikan Negara masih di tahap yang agak lemah dan tidak komprehensif. Kebanyakkannya ke maktab dan menjadi guru dan misi sahaja. Dan nilai seorang mahasiswa pada masa itu sangat bernilai atas faktor keterhadan peluang yang ada dan tidak ramai yang berkelayakan. Namun kini, berbanggakah menjadi mahasiswa universiti yang sememangnya dilimpahi dengan banyak peluang pendidikan, bantuan kewangan, pinjaman dan kemudahan pembelajaran, kalau orang yang suka kepada cabaran, pastinya dikatakan tidak mencabar apabila memanjat puncak gunung dengan sebuah pesawat? Sudah lah senang untuk ke universiti, mungkin dengan hanya kuota yang digagaskan atas asbab perkauman atau bangsa?(terima kasih kepada kerajaan) dan nilai seorang mahasiswa itu pasti lebih jatuh lagi jika akhlak juga tumpul untuk digunapakai dalam kehidupan seharian. Tidak bernilai dan tidak ada manfaat untuk masyarakat dan Negara. Pun sedangkan seruan kerajaan adalah untuk melahirkan seberapa ramai modal insan yang berintelektual.


Apakah Islam?

Apabila ditanya kepada Rasulullah SAW,apakah yang dikatakan ISLAM? ISLAM Itu adalah husnulkhuluq bererti akhlak yang baik. Ironinya,dua nikmat yang sering dipinggirkan mutakhir ini ialah ISLAM dan IMAN. Ada apa dengan kedua-duanya, sedangkan kita mampu memperolehinya dengan mudah, islam dan iman kita adalah dimiliki secara warisan, tidak perlu bermandi darah dan bergolok gadai; jadi tiada yang pelik tentang kehilangannya yang cukup mudah melalui IFC atau pemurtadan agama, betul? Justeru, mengikut kaca mata saya, saya suka untuk mempersetujui pendapat sesetengah orang yang mengatakan jika dikira secara keseluruhannya tiada satupun Negara Islam di dunia ini hatta untuk Negara Arab Saudi yang mengamalkan hukum hudud kerana terlalu banyak masalah akhlak yang masih gagal untuk dibendung dan diselesaikan.

:: Akhlak; tiada di pasaran ::

Berapa harganya sebuah akhlak yang baik?andainya ada, saya juga ingin mengumpul sejumlah wang untuk membelinya biarpun di akhirnya hanya tinggal sehelai sepinggang. Logik akalnya, pastilah tiada kerana akhlak itu dibajai dan dipraktis bukan sewenangnya untuk dijual dan dibeli. Dan kalau mampu dibuat demikian, pastilah antara yang paling kaya di dunia kini bukanlah si Donald Trumph atau Bill gates, tetapi tok2 wali, alim ulama’ dan para sufi yang sememangnya mahal nilaian akhlak mereka. Justeru, berusahalah untuk memperbaiki akhlak kerana mahasiswa yang berintelek jika berakhlak, umpama permata yang bersinar di dalam kebanjiran Lumpur. Kembalikan kegemilangan mahasiswa Islam…jika saya berjaya memperoleh akhlak yang baik itu, saya pasti tidak akn menjualnya sehingga ke mati. Pasti!

Sesungguhnya ISLAM itu tinggi dan Tiada yang lebih tinggi daripada ISLAM